Sunday, January 19, 2014

Isu PKNS: 'Tunggu saja esok'

  • Abdul Khalid IbrahimAbdul Khalid Ibrahim
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - “Tunggu saja perjumpaan Isnin nanti (esok),” demikian kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu pengguguran jawatan Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali dari memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurutnya, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek akan dipanggil dalam perjumpaan yang diadakan esok bagi membincangkan isu terbabit dengan lebih lanjut.

“Saya sudah beri pengumuman sebelum ini mengenai isu sama dan tidak mahu komen apa-apa sehingga kita ada perjumpaan dengan kedua individu berkaitan. Apa-apa tunggu Isnin (esok),” katanya selepas hadir Sesi Dialog Peneroka Projek Pembangunan Alam Mutiara Terbengkalai Peringkat Dua di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Daerah Kuala Selangor, semalam.

Berhubung usul Azmin dan penyokongnya yang mahu jawatan menteri besar dilucutkan, Abdul Khalid menjelaskan, itu hanya satu pergolakan politik semata-mata dan menyerahkan kepada rakyat terutamanya anggota PKR untuk menentukannya.

“Saya tak tahu... hanya rakyat yang juga anggota parti sahaja yang boleh menentukan segala-galanya,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung desakan penyokong selepas Majlis Pimpinan Pusat diadakan pada Rabu lalu yang turut didedahkan dalam  portal berita kelmarin.

Pengguguran Azmin daripada perbadanan itu baru-baru ini, dilihat mencetuskan rasa tidak puas hati pemimpin PKR Selangor apabila setiausahanya Amirudin Shari menuntut penjelasan daripada Abdul Khalid mengenai perkara itu.

Susulan itu, Abdul Khalid menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam pengguguran Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan oleh Othman yang mahu menamatkan khidmat Azmin.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal Setiausaha Kerja PKNS Norita Mohd Sidek.

Norita dalam satu kenyataannya Khamis lepas memaklumkan kuasa melantik Anggota Lembaga Pengarah adalah di tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan Pengurus Besar selaras klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Katanya pengguguran Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.

Dalam perkembangan lain, Adun Pelabuhan Klang itu menjelaskan, kerajaan negeri bertegas untuk memberi tempoh setahun kepada pihak pengurusan Giatmara Selayang sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita tidak tutup tapi bagi peluang kepada Giatmara untuk membaiki infrastruktur dan kemudahan di pusat latihan itu dalam tempoh setahun.

“Kalau mereka gagal, kita akan betulkanlah,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai status isu Giatmara Selayang yang mencetuskan kontroversi sehingga ke hari ini.

No comments: