• Datuk Hamim SamuriDatuk Hamim Samuri
 1 / 1 
TANGKAK - Kerajaan akan membatalkan lesen pembekal, pengimport dan pengedar barangan keperluan harian jika golongan itu terus menaikkan harga barang sesuka hati, tegas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri.

Beliau percaya jawatankuasa khas yang mengkaji punca kenaikan harga barang yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin bersedia menimbangkan tindakan itu sekiranya siasatan mendapati peniaga terbabit berpakat menaikkan harga barang.

"Jangan terperanjat jika kerajaan terpaksa memberi lesen import kepada pihak lain bagi melindungi kepentingan rakyat.

"Pada masa itu mereka jangan marah. Permainan mereka sudah tamat - the game is over," tegasnya ketika berucap merasmikan program khidmat masyarakat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di dewan Sekolah Kebangsaan Serom 3, Sungai Mati hari ini.

Beliau menyifatkan perbuatan mereka itu sudah melampaui batas, sambil menyebut sebagai contoh percubaan peniaga menaikkan harga ikan di pasaran kononnya kerana cuaca buruk di perairan Pantai Timur. - Bernama