Friday, January 10, 2014

Kerajaan perlu merasa rintih rakyat

  • Kerajaan perlu merasa rintih rakyatDari kiri Danish Hairudin,22, Mohd Azlan Ismail,29, dan Rozal Abdul Rahmad, 52.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Rata-rata rakyat mahukan pihak kerajaan turut serta merasai ‘keperitan’ mereka berkaitan isu kenaikkan harga barangan, demikian antara komentar peserta Wacana Sinar Harian siri ke-25 yang berjudul “Kejutan Ekonomi Selepas PRU13.

Tinjuan Sinar Harian Online mendapati majoriti peserta mahukan tindakan serta gaya hidup pemimpin kerajaan sentiasa selari dengan realiti kehidupan rakyat sekarang.

Menurut seorang mahasiswa, Danish Hairudin, 22, bagi mengatasi bebanan kenaikkan harga barang, sebagai rakyat mereka perlulah berhemah dalam berbelanja namun dalam masa yang sama pihak kerajaan perlu sentiasa mendengar keluhan dan jerit perih mereka sekaligus dapat memahami realiti kehidupan rakyat.


“Bagi saya sebagai rakyat, mengenai isu kenaikkan harga barang ini, rakyat hendaklah berbelanja secara berhemah tapi pada masa yang sama kerajaan itu perlu merasa rintih rakyat juga, dalami juga kehidupan rakyat di bawah ini,” katanya.

Sementara itu menurut seorang ahli perniagaan, Mohd Azlan Ismail, 29, berpendapat, satu mekanisme drastik perlu dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu ini.

“Saya daripada pihak rakyat apa yang kerajaan perlu lakukan ialah mendengar keluhan mereka, oleh itu, kerajaan perlu lakukan satu mekanisme lebih drastik dalam menangani isu ini.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan satu perubahan yang baik, iaitu dengan memperkenalkan 11 langkah penjimatan.

"... tetapi apakah kesan itu sampai kepada rakyat, adakah rakyat mendapat faedah itu,” soalnya.

Manakala menurut seorang pesara, Rozal Abdul Rahmad, 52, kerajaan perlu akur dengan ‘suara rakyat’ dalam hal ini (kenaikkan harga barang) dan segala bentuk tindakan kerajaan yang menampakkan ketirisan serta keborosan haruslah dihentikan.

“Kerajaan kena akur pada suara rakyat, kalau tidak masalah ini tidak dapat diselesaikan.

“Misalnya kerajaan perlu hentikan melantik menteri yang bersara daripada jawatan seperti Duta Khas, kerana gaji mereka boleh diagihkan.

"Kalau lantik mereka gaji mereka mencecah puluhan ribu, oleh itu, bagi saya ini satu pembaziran, dengan bayar gaji yang tinggi seperti itu, lebih baik diagih kepada rakyat,” tegasnya.
 Wacana Sinar Harian siri ke-25 berjudul “Kejutan Ekonomi Selepas PRU13” berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), semalam.

Membawa tajuk 'Kejutan Ekonomi Selepas PRU13', Sinar Harian menampilkan barisan panelis yang tidak asing lagi, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dan pakar ekonomi dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Amir Hussin Baharuddin.

Wacana Sinar Siri ke-25 ini dikendalikan oleh moderator terkenal yang juga penganalisis politik, Dr Maszlee Malik.

No comments: