Melihat kepada kedudukan kewangan di negeri Selangor sekarang, sudah seharusnyalah kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu menghapuskan cukai tanah dan cukai pintu yang menekan hidup rakyat dalam keadaan serba mahal di Malaysia sekarang ini.
Walaupun kadar kedua-dua cukai tersebut baru sahaja dinaikkan sebanyak 120% dan 800%, tapi ini hanya langkah sementara bagi mengimbangi kenaikan kos pentadbiran kerajaan negeri yang baru-baru ini menaikkan gaji anggota pentadbirannya antara 80% - 373%.
Setelah beberapa hasil dari punca pendapatan baru yang telah dikenalpasti nanti mula mengalir masuk ke dalam akaun kerajaan negeri dalam tempoh beberapa tahun akan datang, barulah jumlah itu akan dikembalikan kepada keadaan sedia kala.
Tapi sebaiknya, tempoh itu disegerakan memandang kepada keadaan semasa di seluruh negara yang begitu mendesak kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengambil langkah awal bagi mengurangkan beban rakyat.
Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dari BN pada 2008, pendapatan hasil kutipan cukai arak dan judi di Selangor telah meningkat lebih dari 2 kali ganda.
Kalau dulu hasil kutipan cukai dari dua bidang ini hanya sekitar 15% dari keseluruhan pendapatan kerajaan negeri, kini ia telah meningkat kepada 40%!!
Penambahan pendapatan ini telah mengatasi kutipan caj pemajuan sebanyak 30% bagi setiap rumah siap dibina di negeri Selangor yang diperkenalkan pada tahun 2011. Pun begitu, kerajaan negeri menjangka hasil yang lebih banyak dari caj pemajuan ini, melihat kepada banyaknya projek perumahan yang diluluskan untuk tahun 2014 ini sahaja.
Jangkaan ini sepatutnya sudah cukup untuk kerajaan negeri membuat keputusan menghapuskan kedua-dua jenis cukai tersebut.
Walaupun bayaran kutipan sampah domestik meningkat hampir 60% sejak diambil alih dari Alam Flora, tapi punca pendapatan lain yang disebutkan di atas, sudah cukup untuk menampung kekurangan yang diakibatkan dari pemansuhan cukai pintu.
Pakatan Rakyat yakin, jika cadangan untuk menghapuskan 2 jenis cukai ini diteruskan, masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini akan menjadi semakin cerah. Tidak perlu memindahkan pengundi baru pun, Pakatan Rakyat sudah boleh menang mudah di negeri ini.
Meninggalkan BN tanpa sebarang kerusi DUN mahupun parlimen.
No comments:
Post a Comment