Tuesday, February 4, 2014

Bekas Adun Pas terpinggir?

  • Khalil Idham LimKhalil Idham Lim
 1 / 2 
IPOH – Ketiadaan beberapa bekas Adun yang menang pada PRU12 lalu dalam organisasi Pas Perak sesi ini menimbulkan tanda tanya sama ada mereka dipinggirkan oleh pimpinan parti.

Timbul juga andaian, ada sebahagian mereka dikatakan sengaja menyembunyikan diri kerana berasa hati dan merajuk tidak diberikan sebarang jawatan dalam parti.

Menjawab persoalan itu, salah seorang daripada mereka, Drs Khalil Idham Lim pantas menafikan andaian negatif yang cuba ditimbulkan pihak tertentu.


Bekas Adun Titi Serong itu berkata, beliau tidak pernah dipinggirkan apatah lagi merajuk kerana tidak dipilih, tetapi sebaliknya kini sibuk dengan urusan perniagaan.

“Pada asalnya Adun-adun yang dipilih sebelum ini ada pekerjaan sendiri. Jadi selepas mereka bebas daripada tanggungjawab sebagai wakil rakyat, mereka meneruskan kerja yang dilakukan sebelum ini.

“Saya masih aktif berpolitik di kawasan Kuala Kangsar sebagai Ketua Lajnah Perpaduan Nasional dan pada masa yang sama menumpukan bidang perniagaan yang saya ceburi,” kata kepada Sinar Harian.

Pada PRU12 lalu, Khalid Idham menang di Dun Titi Serong dengan majoriti 1,149 undi menewaskan calon BN, Abu Bakar Mat Ali.

Namun, pada PRU13, Khalil Idham menukar haluan bertanding di peringkat Parlimen Kuala Kangsar tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Wan Mohamed Khair-Il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 1,082 undi.

Sementara itu, seorang lagi bekas Adun, Mohd Anuar Sudin yang pernah memenangi kerusi Dun Changkat Jong pada 2008 turut mengemukakan pendapat yang sama.

Katanya, pemimpin Pas  tidak seperti pemimpin parti lain yang menyediakan jawatan tertentu kepada bekas Adun mereka demi menjaga hati.

“Kita dalam Pas cukup takut untuk menerima jawatan kerana bimbang tidak mampu memikulnya. Lebih baik tiada jawatan atau diberikan kepada orang lain.

“Cuma, bila diberikan kepercayaan oleh parti untuk memikulnya, kita akan cuba sebaik mungkin untuk memegang amanah itu,” katanya.

Mohd Anuar yang kini menyandang jawatan Bendahari Pas Kawasan Teluk Intan menjelaskan, beliau masih lagi bergarak aktif di dalam parti walaupun tewas.

Menurutnya, pimpinan Pas lebih melihat kepada potensi khususnya orang muda untuk diberi peluang memimpin sebagai pelapis pemimpin sedia ada.

Untuk rekod, Mohd Anuar pada PRU 2008 memenangi kerusi Dun Changkat Jong selepas menewaskan calon BN, Datuk Idris Hashim dengan majoriti 899 undi.

Bagaimanapun pada PRU13 beliau tewas dengan majoriti 1,118 undi kepada calon BN, Mohd Azhar Jamaluddin.

No comments: