Thursday, February 27, 2014

Guna BR1M beli bekas simpan air

  • Guna BR1M beli bekas simpan airSyabas menyalurkan bantuan air kepada penduduk flat Taman Desa Baiduri ketika tinjauan dilakukan, semalam.
 1 / 1 
CHERAS - Kos sehingga RM100 antara yang terpaksa dibelanjakan penduduk yang terjejas dengan ketiadaan bekalan air, untuk tujuan membeli kelengkapan penyimpanan bekalan itu.

Dengan catuan air berjadual bermula hari ini, mereka tidak terkecuali membuat simpanan semaksimum mungkin untuk memastikan rutin harian mereka tidak terjejas.

Tinjauan Sinar Harian di flat Taman Desa Baiduri, Cheras, semalam mendapati, rata-rata penduduk bersedia menghadapi catuan air berjadual meskipun terpaksa ‘pejam mata’ berbelanja besar membeli baldi, tong berpenutup dan lain-lain kelengkapan untuk membolehkan mereka menyimpan air.


Penduduk, Ramlah Abd Walad, 57, berkata, wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima Jumaat lalu, dimanfaatkan untuk tujuan itu.

Katanya, krisis air di kawasan itu merupakan pertama kali dihadapi mereka sekeluarga sejak 18 tahun menetap di situ.

“Hampir RM100 digunakan untuk menambah baldi dan bekas air berpenutup di rumah. Bimbang catuan ni lama, kena simpan air banyak. Bekas-bekas ni memudahkan kami, tak payah angkut air setiap hari,” katanya.

Bagi suri rumah, Ika Saputri Misma, 38, ketiadaan sumber air menyukarkan rutin hariannya menguruskan empat kanak-kanak di bawah jagaannya.

Katanya, walaupun gangguan air yang terjadi di kawasan itu sejak seminggu lalu tidak berterusan, dia berpeluang membuat simpanan air ketika bekalan pulih beberapa ketika.

"Tapi simpanan yang ada makin kurang sebab sejak semalam (kelmarin) langsung tak ada air. Hari ini (semalam) lega kerana Syabas datang bawa air,” katanya.