Thursday, February 27, 2014

MOU Air Bukti Khalid Tak Faham Politik


Dah disebutkan dari awal lagi dan diakui oleh banyak pihak bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim adalah seorang teknokrat yang berjaya, pakar dalam ekonomi dan sebagainya, tapi politik bukanlah bidang yang layak untuk beliau.

Hakikat ini boleh rakyat lihat sendiri dari apa yang berlaku semalam, bila Khalid tanpa iringan Exco Selangor yang lain (seperti biasa), pergi ke Pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula air di Selangor.

Di TV juga kita boleh lihat bagaimana 'hormatnya' Khalid kepada Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir untuk menyaksikan pemerteraian MoU tersebut.

Semua ini melukakan hati penyokong Pakatan Rakyat yang selama ini bermati-matian mempertahankan keputusan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan pembinaan Langat 2 diteruskan.

Termasuk di kalangan mereka ini adalah aku sendiri.

Malah aku rasa, aku adalah antara yang paling ke depan mempertahankan Khalid dalam soal bekalan air di Selangor yang mampu bertahan sehingga tahun 2019 seperti penemuan yang dibuat oleh konsultan yang dilantik kerajaan Selangor pada 2012.

Alih-alih sekarang Khalid mengkhianati kepercayaan itu dengan menandatangani MoU dengan kerajaan persekutuan berhubung pengurusan air di Selangor, ini gila macam mana?

Membuktikan bahawa Khalid tidak faham politik.  Keputusan yang beliau buat semata-mata untuk menyelamatkan jawatannya sebagai Menteri Besar saja, walaupun dalam masa yang sama ia menjejaskan imej Pakatan Rakyat.

Tak pasal-pasal semua tajuk utama akhbar hari ini memberi reaksi yang membawa maksud "Pakatan Rakyat salah, BN yang betul".

Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri keliru dengan keputusan yang dibuat Khalid semalam, sehingga memaksa beliau untuk menerima MoU itu secara dasarnya, demi kebaikan semua rakyat Selangor yang kini terjejas dek masalah air.

Begitu besar jiwa rakyat Anwar, sanggup menerima MoU itu walaupun ia jelas menyalahi semua ketetapan yang telah dibuat oleh Pakatan Rakyat berhubung soal air di Selangor sebelum ini.

Tapi aku difahamkan, Anwar akan menilai semula MoU ini setelah beliau dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baru kelak.  

Malah, kebenaran membina yang dikeluarkan kerajaan Selangor semalam untuk pembinaan Langat 2 diteruskan juga, boleh ditarik balik jika butiran terperinci MoU itu tidak memenuhi kehendak Pakatan Rakyat.