Monday, February 24, 2014

Herman Tino tawar diri redakan kemarahan pengundi Kajang

herman tino
PETALING JAYA: Terdengar sahaja lagu “Mengapa difikir mengapa dikenang” di corong radio, kita teringat kepada penyanyinya, Herman Tino. Siapa sangka daripada penyanyi dangdut era 80-an, Herman Tino, 60,beralih fokus dan mencuba nasib dalam arus politik.

Melalui bantuan rakan-rakan yang sanggup menggadaikan dua buah kereta semata-mata untuk membayar wang deposit, beliau tekad bertanding sebagai calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bagaimanapun pengorbanan itu tidak berbaloi. Penyanyi berambut afro itu tewas sehingga hilang wang pertaruhan menentang Datuk Seri Noh Omar di Parlimen Tanjong Karang.

Baginya, dunia nyanyian dan politik mempunyai persamaan iaitu menguji sejauh mana seseorang individu mampu menarik pengaruh orang ramai dalam satu masa.
Sama ada melalui lontaran vokal yang mendayu-dayu atau atau lontaran idea penuh retorik tetapi cukup bergaya, bak pemimpin bertaraf dunia.
Kehadirannya cukup disenangi, malah ketika temubual diadakan orang ramai tidak putus-putus mendekati beliau untuk bersalaman dan bergambar selain memberi kata-kata perangsang bertanding di Kajang.
“Saya sebenarnya tidak ada cita-cita nak jadi ahli politik, saya cuma nak jadi seorang penyanyi saja dan saya telah menyanyi dengan bersungguh-sungguh.
“Cuma saya juga manusia biasa suka ambil tahu tentang perjalanan sistem demokrasi negara,” katanya.
Berikut temubual penuh dengan beliau:-
FMT: Bagaimana timbul idea nak bertanding di Kajang?
H: Saya sebenarnya hanya seorang peserta demokrasi. Niat saya nak bersaing kerana kerusinya kosong. Jadi sayalah peserta demokrasi itu tetapi oleh kerana kerusi itu dikosongkan tak tentu pasal terus menambahkan keinginan saya untuk bersaing. Saya ingin buat sesuatu. Kalau penduduk Kajang setuju saya akan muncul pada PRK N25 ini.
FMT:Kenapa nak masuk dunia politik?
H: Sebagai penyanyi saya biasanya meriwayatkan mesej dalam lirik lagu. Perjuangan saya diterjemahkan melalui nyanyian, Tetapi kebelakangan ini saya kurang tenang untuk menyanyi. Dalam keadaan bercakaran sebegini saya nak menyanyi pun kurang senang. Jadi saya cuba untuk berbuat sesuatu. Peminat mungkin ramai tetapi sebagai pengundi belum tahu. Saya harus berjuang. Tetapi kalau ditakdirkan saya tumpas dan tersungkur di sini saya terima.
FMT: Kenapa kurang tenang?
H: Kalau saya menyanyi untuk Umno, orang PKR cakap saya orang Umno. Kalau PKR jemput saya menyanyi, orang Umno kata Herman Tino berpaling tadah dan kata jangan lagi dekati dia. Itu semua membuatkan saya
bingung. Macam dulu di Tanjung Karang, Noh Omar dan Khir Toyo orang situ. Mereka sudah lama bertikam lidah tak tentu pasal. Kalau saya menyanyi di tempat Noh Omar, Khir Toyo akan tuduh saya orang Noh Omar. Begitu juga sebaliknya. Habis macam mana saya nak cari makan? Itulah yang menyebabkan saya jadi begini.

FMT: Pandangan mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim nak bertanding di Kajang?
H: Saya hormati siapa jua yang menempatkan diri di Kajang. Tetapi sebagai anak jati Selangor saya terusik dengan tindakannya yang ingin berkuasa dan menentukan qada’ qadar sendiri. Saya kecil hati. Itu namanya memperkotak-katikkan Selangor dan membuli orang Selangor. Saya tak mahu apa-apa. Cuma saya ingin bercakap saya anak Selangor dan memohon kepada semua pihak yang ingin bertanding carilah orang yang pandai dan bukan yang memandai-mandai.
Saya hormati rakyat Kajang dan saya akan bantu. Saya bukan gila pangkat atau politk. Saya percaya ada kemarahan di sini. Saya nak bawa kemarahan itu untuk diredakan bukan untuk diapa-apakan lagi. Juga nak ingatkan ahli politik jangan dibentuk kemarahan rakyat untuk kepentingan diri sendiri. Itu saya tak setuju. Siapa jua pemimpin politik yang membentuk kemarahan rakyat saya tak setuju. Saya bangkang kerana saya bukannya seorang yang suka berdemonstrasi. Saya tak pernah nak burukkan negara. Saya juga bukan membahayakan negara tetapi percayalah cuma sedikitlah saya akan menyusahkan calon-calon yang bertanding.
FMT: Siapa pengaruhi supaya bertanding?
H: Ketika dulu saya menangis berguling-guling nak jadi penyanyi, dan begitulah Herman Tino merentas ranjau. Saya bertanya pada malaikat adakah tugas lain yang perlu dipikul selain menyanyi. Saya sekarang amat memohon diberi petunjuk. Saya tak dipengaruhi sesiapa pun dan saya tak mempengaruhi sesiapa pun. Tentang keluarga dan rakan yang menghalang saya bertanding, jangan risau. Saya cuma hendak ‘bertunang’ dengan orang kecil Kajang.
Saya cuma nak bersuara, nak protes. Pengalaman dari atas pentas macam-macam yang saya nampak, yang palsu,yang tulen. Saya tahu ada pemimpin yang mempunyai persona pejuang yang tinggi tetapi palsu. Dan paling sukar untuk berdepan dengan orang palsu yang penuh persona. Saya tahu pejuang biasanya makan untuk hidup tetapi ingat kepada yang memperjuangkan hidup dengan menjahanamkan negara ini.
FMT: Dakwaan ditaja Umno?
H: Saya difitnah. Semasa PRU13 dulu pun orang kata Khir Toyo yang taja saya. Tak mungkin. Saya nasihatkan semua parti yang bertanding saya tak pernah kenal Khir Toyo. Saya tak pernah terima rasuah. Kalau ada yang mengatakan saya nak bertanding di Kajang hanya untuk memanipulasi dan nak cari duit tolong hentikan fitnah itu.
FMT: Tak takut ditertawakan?
Kalau saya ‘maut’ ditangan persona palsu Anwar. Kalau itu ajal saya. Saya ingin pesan pada Kajang, kalau tersungkur saya takkan marah pada Kajang. Cuma nak pesan elok-elok saling menghormati. Marah pada tempatnya, jangan baca fitnah. Kita tahu sekarang ni kita dilanda zaman fitnah. Tetapi walau bagaimanapun kalau Kajang tak setuju Herman Tino nak bersaing cakap saja. Saya akan berundur.
FMT: Tak takut hilang deposit lagi?
Saya mohon janganlah dihilangkan wang pendahuluan saya. Saya bukannya ada duit. Kesian kawan saya yang membantu. Kawan-kawan tu pun tak serik. Sampai sekarang nak bantu saya juga. Saya tak tahu kenapa mereka nak rugi duit. Mengenai dana, kalau ada kawan lain yang setuju mahu menyokong silalah datang.
FMT: Apa yang ingin ditawarkan kepada pengundi Kajang?
H: Saya suka Kajang yang indah dan aman. Saya tak berani janji apa-apa tapi kalau menang saya cuma berjanji jom kita berkasih sayang antara semua bangsa. Hormat menghormati antara satu sama lain. Saya anakSelangor. Mari kita berjuang untuk apa jua bangsa. Saya tak mahu memburukkan sesiapa. Saya cuma nak bercakap sebagai anak Selangor. Baru saya boleh menyanyi dengan tenang. Kalau ada masalah jom pakat ramai-ramai kita jumpa pada orang yang boleh selesaikan masalah. Jom kita kumpulkan orang jati Selangor. Jangan dibuli orang Selangor.