Tuesday, February 25, 2014

Hujan Akan Turun Bila Anwar Berdoa Sebagai MB


Kepentingan memilih pemimpin yang baik ini disebut dalam hampir semua agama, dengan Islam tidak terkecuali.  Aku yakin perkara itu ada, kewujudan PAS umpamanya adalah bukti jelas bagaimana pemimpin yang baik ini perlu datang dari organisasi politik yang baik juga.

Dalam hal ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah contoh terbaik.

Beliau sanggup merisikokan dirinya dalam satu pilihanraya kecil (bukan tarafnya sebagai bakal Perdana Menteri) untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dapat dijalankan dengan lebih baik dari yang sedia ada.

Tan Sri Khalid Ibrahim ternyata gagal dalam banyak hal, terutama yang membabitkan kepentingan rakyat, antaranya catuan air yang diumumkan semalam.

Apakah motif Khalid mengumumkan catuan air, hanya sehari sebelum ia dilaksanakan, menjadi persoalan di kotak fikiran semua orang.  Sebagai pemimpin kerajaan yang berkebajikan seperti Selangor ini, Khalid perlulah memberi masa yang panjang kepada rakyat untuk menyiapkan diri dengan keperluan bagi menghadapi krisis air.

Menyebutkan tentang itu (krisis air), Khalid juga harus mengadakan sidang DUN Khas untuk mmeberi penjelasan kepada rakyat kenapa dia sebagai Menteri Besar Selangor, sering memberikan kenyataan yang berubah-ubah.

Kalau dilihat kembali kenyataan Khalid mengenai air ini sejak 2 tahun lepas, cukup banyak yang berbeza.  Tak usah cakap 2 tahun dululah, 3 hari lepas pun Khalid dah bagi kenyataan yang berlawanan dengan keputusan untuk mencatu air yang dibuatnya semalam.


Harakah pada 22 Feb yang lepas menyiarkan kenyataan Khalid bahawa air di Selangor cukup sehingga 5 bulan, tapi sekarang keputusan untuk mencatu keperluan asas rakyat tersebut dah dibuat, apa cerita?

Maka itu Khalid harus meletakkan jawatan dengan segera pada malam 23 Mac nanti.  Sehari selepasnya, Anwar akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dan aku yakin doa pertamanya sebagai Menteri Besar adalah supaya hujan akan turun di negeri tersebut.

Doa itu sudah pasti akan dimakbulkan Tuhan kerana Anwar adalah seorang yang warak dan pernah menghadapi pelbagai penderitaan kerana ingin membela nasib rakyat.  Orang kata, doa orang teraniaya ini mudah diterima Tuhan.

Orang kata, bukan aku, tapi kalau betul pun apa pulak salahnya?

Kalau nak dibanding dengan Khalid yang dari dulu tak pernah hidup susah, sebaliknya banyak dibantu UMNO dan BN untuk meraih kejayaan dan kekayaan.  Doa Menteri Besar macam ini, siapa boleh dengar?  Sebab itulah rakyat Selangor menderita sekarang.

Tapi bila difikir-fikirkan semula, adakah krisis air yang melanda Selangor sekarang, sengaja direka untuk menjejaskan peluang Anwar mengaut 80% undi dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti?

Sama-sama kita lihat.