Tuesday, February 25, 2014

Mampukah Hadi Bayar Saman RM 2 Juta?


Kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dilihat kukuh bila semua pemimpin utamanya, terlibat dalam membantu Presiden PAS, Tuan Guru Abd Hadi Awang menyelesaikan tuntutan saman berjumlah RM 2 juta yang difailkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.

Walaupun yang menyaman itu adalah ahli komponen Pakatan Rakyat sendiri, tapi itu bukan masalah yang besar sangat.  Shamsul sekadar menjalankan haknya sebagai rakyat Malaysia jika dia berasakan dianiaya oleh sesiapa pun - Hadi tidak terkecuali.

Isunya disini ialah, bagaimana Hadi disaman itu tidak penting, yang penting, bagaimana Pakatan Rakyat nak menangani keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam yang mengarahkan Hadi untuk membayar wang sebesar RM 2 juta ini.


Punca utamanya itu, bukan sebab kenapa disaman, siapa menyaman dan sebagainya yang dimainkan portal dan media pro UMNO sekarang.  Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak sepatutnya dilibatkan kerana beliau tidak boleh campur tangan dalam hal peribadi ahli-ahli PKR.

Saman menyaman macam ini hal peribadilah, bukan hal rasmi membabitkan parti.

Maka itu, aku menyambut baik tindakan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang yang menganjurkan majlis ceramah di Johor semata-mata untuk membantu Hadi menyelesaikan tuntutan sebanyak RM 2 juta itu.

Bagi siapa yang mengikuti dengan dekat politik DAP, amat jarang sekali parti tersebut mengadakan kutipan derma seperti ini, biasanya DAP kalau nak mendapatkan dana dari rakyat pun, akan mengadakan jualan meja sempena makan malam yang dianjurkan parti tersebut.

Tapi demi nak membantu Hadi, maka DAP merendahkan martabatnya sehingga ke tahap ini untuk menunjukkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini sememangnya kukuh, tak seperti yang UMNO cuba gambarkan - berpecah belah.

Dalam masa yang sama, aku percaya bantuan dari Pakatan Rakyat ini, belum cukup untuk membolehkan Hadi membayar saman tersebut.  Maka itu Hadi tidak boleh berterusan berharap kepada pimpinan Pakatan Rakyat yang lain untuk membantunya, dia sendiri perlu cari jalan bagaimana nak diselesaikan saman itu.

RM 2 juta bukan sedikit, tapi banyak.  Dengan pendapatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN semata-mata, belum cukup nak menjelaskan separuh dari jumlah itu pun.