Thursday, February 6, 2014

Masalah jika Anwar dilantik MB

  • Anwar IbrahimAnwar Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM - Walaupun menguasai PKR, Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan pemimpin yang sesuai untuk diangkat menjadi menteri besar Selangor.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana kontroversi yang melibatkan Anwar terlalu banyak dan boleh menjadi liabiliti bagi kerajaan negeri jika beliau dilantik sebagai menteri besar.

“Banyak kontroversi yang melibatkan peribadi beliau disentuh sebelum ini, selain itu, beliau juga bakal dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi. Ini berisiko tinggi jika beliau dilantik jadi menteri besar Selangor.


“Ini juga boleh jadi bola tanggung untuk BN serang kerajaan negeri," katanya.

Azmi berkata, itu mungkin antara faktor Pas seakan-akan tidak bersetuju apabila nama Anwar disebut menggantikan kerusi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

“Selain itu, jika Anwar memegang kerusi menteri besar,  masalah dalaman parti akan terpalit dalam pentadbiran negeri. Itu yang mahu dielak oleh Pas," katanya.

Menurut Azmi, dari segi pengamalan Anwar memang layak untuk menggantikan Abdul Khalid,  bagaimanapun akibat liabiliti yang ada, rakan PR berhati-hati dalam membuat keputusan mengenai perkara itu.

Pendapat sama turut diutarakan oleh pensyarah dari Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian bahawa Pas tidak mahu terpaut bersama dengan masalah dalaman PKR.

“Pas juga merasakan yang calon mereka lebih layak mengisi kerusi menteri besar jika Abdul Khalid berundur,” katanya.
Sivamurugan turut berpandangan bahawa peranan Anwar lebih kepada menjadi penyatu antara Pas, PKR dan DAP dalam PR.

Menurut Sivamurugan,  kemenangan Anwar di  Dun Kajang, tidak bermakna kemelut yang berlaku dalam PKR akan berakhir.

Kelmarin, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat  berkata, sayap Pas itu akan menyokong Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dun Kajang.
Bagaimanapun, tidak sesekali menyokong jika Ketua Pembangkang itu berhasrat mahu menjadi menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kenyataan dua ahli akademik itu seakan berbeza dengan percaturan yang dibuat oleh PKR yang dilihat mahu meletakkan Anwar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

No comments: