• Surat palsu: Speaker Perak teliti imej CCTVKesavan (tiga, kiri) bersama rakan-rakan pimpinan PKR Perak ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.
 1 / 1 
IPOH – Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri SK Devamany memberi jaminan akan menjalankan siasatan berhubung penyerahan surat palsu peletakan jawatan Adun Hutan Melintang, S Kesavan.

Menurutnya, berdasarkan keterangan kerani pejabat, pihaknya dimaklumkan ‘surat peletakan jawatan’ Kesavan itu diserahkan individu tidak dikenali sekitar 2.30 petang kelmarin.

“Apa pun kita harap perkara ini tidak menjadi isu. Kita pun tak tahu apa niat dia (pemberi surat) itu.

“Kita akan teliti kamera litar tertutup (CCTV) seluruh bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Kemudian, biar polis siasat.

“Saya tidak dapat nak ulas lanjut, apa-apa pun biar polis mengenal pasti pihak bertanggung jawab dalam isu berkenaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berharap ia tidak diperbesar kerana dikhuatiri memberi kesan kepada amalan demokrasi di negeri ini.

“Isu seperti ini boleh  rosakkan hubungan kerjasama baik antara kerajaan negeri dengan PR ketika ini,” katanya.

Kesavan ketika ditemui mengakui terkejut, apabila dimaklumkan ada individu cuba menyamar sebagai dirinya dengan menghantar surat palsu.

Menurutnya, tindakan individu berkenaan jelas, cuba mencabar kemuliaan Dewan Negeri.

 “Ya, saya memang tak sangka mengenai perkara ini, tambah terkejut apabila mendapati ternyata ada individu cuba menyamar menjadi saya dan menghantar surat palsu ke SUK,” katanya.

Beliau mengakui, insiden itu mengganggunya apatah lagi, kini dalam persediaan melangsungkan perkahwinannya, Isnin ini.

Kesavan selepas itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyokong laporan polis berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah meminta Speaker membuat laporan polis.

“Saya yakin apabila polis membuat siasatan, mereka akan mendapatkan rakaman CCTV dan rekod masuk ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Jika benar seperti  dilaporkan, kita simpati dengan Kesavan yang perlu hadapi isu ini di saat menempuh alam perkahwinan tidak lama lagi,” katanya.