Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa dia tidak menghormati hak asasi suspek jenayah ketika mengulas mengenai kejadian pembunuhan seorang anggota polis di Klang, adalah satu kenyataan yang dikirakan sangat bahaya.
Menurut sumber, kenyataan itu dibuat Zahid di TV sebentar tadi.
Pakatan Rakyat faham Zahid terlalu emosi bila mendapat tahu seorang anggota polis mati ketika menjalankan tugas, tapi sebagai Menteri bertanggungjawab, dia tidak bolehlah melampau batas dengan mengabaikan hak asasi manusia suspek penjenayah tersebut.
Suspek atau penjenayah sekalipun adalah manusia biasa yang perlu dihormati hak mereka. Bila seorang Menteri seperti Zahid memberikan kenyataan seperti itu, ia memberi gambaran seolah-olah Malaysia ini negara yang tidak ada tamadun.
Atau sebenarnya Zahid seorang sahaja yang kurang bertamadun.
Pakatan Rakyat membantah keras kenyataan seperti itu, yang mana kalau dihidu media antarabangsa, boleh meletakkan negara ini setaraf dengan Jerman ketika dibawah pemerintahan Adolf Hitler semasa perang dunia kedua yang lepas.
Sebagai organisasi yang disokong sepenuhnya oleh para peguam yang bertugas membela nasib suspek penjenayah di negara ini, kenyataan tersebut tidak boleh diterima sama sekali, apatah lagi datang dari seorang bertaraf Menteri!!
Di Malaysia ini, tidak ada seorang pun yang boleh dianggap bersalah, melainkan setelah kesnya dibuktikan di Mahkamah. Hanya Mahkamah sahaja yang boleh mengesahkan seseorang individu itu penjenayah atau tidak, bukan Zahid.
Bercakap tentang kejadian di Klang itu, Pakatan Rakyat ingin mengingatkan Zahid bahawa selain seorang anggota polis yang terkorban itu, 2 orang warga Indonesia yang lain telah pun mati terkena tembakan.
Adakah nyawa mereka ini berbeza dengan nyawa anggota polis yang terkorban? Walaupun mereka warga Indonesia dan suspek jenayah, mereka tetap punya hak asasi manusia yang sama seperti Zahid dan kita semua yang lain.
Sementara polis, memang risiko terkorban ketika bertugas ini adalah kebarangkalian yang tidak boleh tidak perlu mereka hadapi ketika menjalankan tugas setiap hari. Sebab itu anggota polis diberikan latihan secukupnya, ditambah dengan senjata api untuk mempertahankan diri.
Mungkin yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk mengkaji semula sistem latihan polis agar mereka lebih bersedia menghadapi keadaan mencemaskan seperti itu, bukan menyalahkan orang lain semata-mata bila kematian ketika bertugas berlaku.
Apatah lagi mengabaikan hak asasi manusia mereka seperti dalam kenyataan Zahid sebentar tadi.
Bagi memastikan hak setiap orang disisi undang-undang sentiasa terbela, Pakatan Rakyat akan berbincang dengan peguam untuk menentukan tindakan lanjut atas kenyataan Zahid ini, malah, Pakatan Rakyat juga akan berbincang dengan kerajaan Indonesia sebelum menentukan tindakan lanjut.
Tidak hairan kenapa Malaysia punya kadar menembak mati suspek penjenayah antara yang paling tinggi di Asia, rupanya kerana hak asasi manusia mereka dinafikan oleh pihak penguatkuasa, tak bolehlah macam itu.