Friday, March 21, 2014

Parlimen Australia Malukan Malaysia



KUALA LUMPUR: Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) membidas sikap anggota parlimen BN yang didakwa gagal memahami konsep pengasingan kuasa (separation of powers), sehingga enggan membahaskan isu kehilangan pesawat MH370 di parlimen.


Berucap ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata keengganan itu bukan sahaja menyedihkan tetapi telah memalukan Malaysia di mata dunia.



Kamarudin yang juga AJK PAS Pusat berkata konsep separation of powers dalam negara kita tidak mutlak seperti yang ada dalam Sistem Presiden AS, Indonesia dan Filipina.

"Dalam sistem kita yang agung adalah Parlimen. Sebab itu (parlimen) kita boleh bahas titah Yang di-Pertuan Agong. (Semasa) pembukaan (sidang) dewan hakim-hakim pun datang duduk dengan kita.


"Ini bermakna kita ada hak bahas hal Agong hal hakim mengikut peraturan mesyuarat. Tapi salah faham di kalangan ahli parlimen BN dan Kelab Penyokong Kerajaan Parlimen Malaysia (BNBBC) yang kata ini separation of power tak boleh sentuh hal hakim, tak boleh bincang MH370.



"Ini satu pemikiran mundur dan merugikan ahli parlimen dan tidak membuka peluang untuk mengambil bahagian dan menyelesaikan bersama isu MH370," kata beliau.



Malaysia kata Kamarudin lagi, patut malu dengan Parlimen Australia, di mana Perdana Menteri Tony Abbott sendiri membuat makluman dari masa ke masa di Dewan Parlimen di Canberra berhubung isu MH370 ini.



Sedangkan katanya, yang telibat dalam insiden ini bukan pesawat dari syarikat penerbangan negara itu, tetapi mereka jauh lebih terkehadapan.



"Kita amat tidak bersetuju dengan dasar kerajaan yang enggan untuk membahaskan isu ini dalam dewan yang mulia ini.



"Apa yang berlaku di parlimen Australia ketika ini amat memalukan kita bahawa insiden ini bukan melibatkan airline Australia tetapi mereka bawa isu ini ke parlimen mereka," jelasnya.