Thursday, March 6, 2014

Lima Adun DAP keluar dewan

  • Lima Adun DAP keluar dewanPoay Tiong berjalan keluar selepas Speaker mengarahkannya meninggalkan dewan.
 1 / 1 
AYER KEROH - Lima Adun DAP bertindak keluar dewan selepas mendakwa Speaker Dun tidak adil kerana mengecualikan Adun Kesidang, Chin Choong Seong, daripada perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Tindakan berkenaan berlaku kira-kira sejam selepas Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) diperintah keluar dari dewan oleh Speaker, Datuk Othman Mohamad, kerana mengingkari arahan untuk berhenti berbahas selepas masa diperuntukkan tamat.

Walaupun beberapa kali disuruh berhenti dan diberi amaran oleh Othman, Poay Tiong tetap berdegil, malahan sempat mempertikaikan mengenai lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, ke Turki baru-baru ini.


Kekecohan tercetus apabila Choong Seong bangun dan mempersoalkan mengapa beliau tidak diberi peluang berbahas sedangkan Adun pembangkang yang lain berbuat demikian.

Othman cuba menenangkan keadaan dengan memaklumkan bahawa beliau akan diberi peluang semasa membahaskan usul penangguhan hari ini.

Bagaimanapun, ini tidak menenangkan beliau, sebaliknya beliau terus mendesak mahukan 'hak sebagai seorang wakil rakyat.'

Suasana bertambah tegang apabila beberapa Adun BN campur tangan dan meminta Speaker mengusir beliau dari dewan.

Bagaimanapun, sebelum sempat Othman membuat sebarang keputusan, beliau bersama Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang), Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana) keluar meninggalkan dewan.

Bagaimanapun, mereka tidak dituruti Dr Md Khalid Kassim (Pas-Bukit Baru) yang memilih untuk terus kekal di dalam dewan.

Sementara itu, Idris ketika ditemui selepas persidangan berkata, pembangkang menunjukkan warna sebenar mereka apabila bertindak sedemikian rupa.

Menurutnya, ia satu tindakan sombong dan angkuh kerana dewan belum pun membuat sebarang keputusan.

"Selama ini mereka meletak kesalahan pada Speaker jika dihalau. Tapi hari ini mereka menunjukkan warna sebenar mereka.

"Ini juga menunjukkan sikap tidak bertanggung jawab mereka terhadap rakyat yang sepatutnya mereka wakili di dewan ini," katanya.