KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini menasihatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak terburu-buru menandatangani perjanjian air dengan kerajaan persekutuan.
Menurut Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Majlis Pimpinan PR telah menghantar tiga wakil dari setiap parti untuk bertemu dengan Abdul Khalid petang ini bagi menyampaikan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut.
“Jadi kita minta dia lebih teliti terutama kerana kenyataan dia tentang perjanjian yang bakal ditandatangani. Kita telah bersetuju hantar tiga wakil untuk sampaikan pandangan kita iaitu Tan Kok Wai (DAP), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan Datuk Saifudidn Nasution (PKR) untuk sampaikan pandangan (supaya) harus diberikan penjelasan lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan PR sebelum ditandatangani.
“Selepas tandatangani tak ada gunalah jadi kita minta beri tempoh sedikit sahaja dan kita setuju supaya pimpinan akan memberikan keutamaan apabila taklimat akan diberikan,” kata Anwar dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Dalam masa yang, Abdul Khalid telah memanggil semua ahli parlimen dan Adun Selangor petang ini untuk menyampaikan taklimat secara lebih terperinci soal perjanjian air ataupun MoU (memorandum persefahaman) dengan kerajaan persekutuan.
“Tugas mereka ini ialah untuk menasihati (Khalid) supaya tidak terburu-buru dalam menandatangani perjanjian kerana ianya memberikan impak besar kepada negeri, isu tarif (air), isu Langat 2.
“Kebimbangan saya ialah, setelah semua faktor diambil kira, pandangan bebas mesti dirujuk kerana MoU pertama itu ada perjanjian disertakan sekali, saya sudah beritahu Khalid dua hari lepas, kalau ianya MoU, tak ada perjanjian yang tidak boleh dibatalkan disertakan dalam MoU itu. Jadi saya nasihatkan dia perkara ini tidak berulang lagi dalam perjanjian (yang bakal ditandatangani).
“Pada dasarnya saya sokong, hanya apabila saya diberitahu Langat 2 sudah dimerterai, saya beritahu Khalid untuk berhati-hati kerana terma yang dia gunakan ialah MoU, yang bermaksud persefahaman,” terangnya lagi.
PR perlu pertahan kepentingan Selangor
Perkara seperti ini, menurut Anwar, memerlukan perbincangan lanjut terutamanya kerana PR perlu mempertahankan kepentingan Selangor dalam jangka masa panjang untuk memastikan tarif (air) seperti yang dijanjikan akan dikekalkan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pimpinan PR wajar diberitahu akan isi kandungan MoU terebut.
“Secara rasmi, pimpinan tertinggi belum pun tengok MoU itu. Dan ini adalah perlu dari sudut supaya apa-apa pun keputusan yang dibuat akan berjalan dengan lancar. Sebab itulah keputusan ini dibuat kerana kita ada tanggungjawab secar kolektif dalam apa jua tindakan yang dilakukan.
“Sebab itu pimpinan harus tahu secara jelas apa sebenarnya yang terkandung dalam MoU itu dan kita juga nak tahu kesan daripada perjanjian itu, kepada negeri dan kepada rakyat. Jadi sebab itu perlu diadakan penerangan kepada pimpinan,” katanya.
Anwar bagaimanapun menafikan bahawa Khalid memerlukan persetujuan daripada pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.
“Bila kita tengok ada masalah pentafsiran yang agak samar dalam MoU, dan terutamanya Langat 2, jadi kita fikir perlu ada rasa rendah diri dan telus kita perlu diberitahu akan perkara ini. Tak ada salah jika kami diberikan imput,” katanya lagi.
Anwar turut berkata Khalid berhak untuk meminta tambahan masa sebelum menandatangani sebarang perjanjian bersama kerajaan persekutuan kerana ianya melibatkan wang rakyat.
“Kerajaan persekutuan pun mestilah munasabah, takkanlah telefon jam 11 malam dan cakap esok pukul 10 pagi mahu tandatangan. Ini tak pernah berlaku, ini yang buat jadi tanda tanya.
“Kalau betul, bagilah notis untuk tandatangan perjanjian melibatkan RM9.6 bilion atau RM11 bilion. Jadi kenapa nak beri notis satu, dua hari ni? Itu yang kita bangkitkan,” tegasnya.