Thursday, March 6, 2014

Khalid: Bukan baru orang tak senang dengan saya

  • Abdul Khalid IbrahimAbdul Khalid Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM -  "Bukan perkara baru orang tak senang dengan saya," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, beberapa keputusan yang dibuat sebelum ini juga tidak disenangi pihak tertentu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasa tidak senang beberapa pihak terhadap tindakannya menandatangani MoU penstrukturan industri bekalan air Selangor, baru-baru ini.


"Saya rasa berdasarkan pengalaman bekerja berpuluh tahun, perkataan 'tidak senang' itu bukan baru hari ini (timbul).

"Saya ambil alih Guthrie juga ada yang tidak senang. Saya ambil alih ladang di Indonesia juga ada yang tidak senang.... tapi saya senang," katanya berseloroh dalam program Soal Jawab yang disiarkan di TV3, malam tadi.

Menjawab soalan lanjut mengenai pertikaian daripada pimpinan partinya sendiri, Abdul Khalid berkata dalam PR, semua ahli bebas menyuarakan pendapat.

"Anda kena faham. Parti kami parti reformis di mana semua orang bebas mengeluarkam buah fikiran.

"Kalau kita faham apa yang kita buat, kita boleh jawab semua (pertikaian) itu. Saya dan Datuk Panglima boleh jelaskan," katanya.

Menteri Tenaga Teknologi, Hijau, dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut menjadi tetamu dalam program tersebut.

Kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan penstrukturan semula industri bekalan air Selangor 26 Februari lalu.

Sejak itu, pelbagai reaksi diberikan termasuk yang tidak bersetuju dengan MoU tersebut.