KUCHING - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui percaya masih ada peluang cerah bagi parti tertua di negeri ini mengelak daripada pendaftarannya dibatalkan.
Beliau berkata, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP yang diketuainya mengadakan perbincangan mesra bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pagi ini.
Katanya dalam pertemuan itu, Adenan diberi taklimat tentang hal ehwal dalaman parti dan tindakan yang diambil Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap parti itu.
Beliau berkata, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP yang diketuainya mengadakan perbincangan mesra bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pagi ini.
Katanya dalam pertemuan itu, Adenan diberi taklimat tentang hal ehwal dalaman parti dan tindakan yang diambil Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap parti itu.
"Kami gembira kerana perbincangan berlangsung dalam suasana mesra. Ketua menteri membenarkan anggota CWC menyuarakan pandangan mereka, dan beliau bertanya banyak soalan.
"Satu perkara yang membuat saya begitu gembira ialah apabila beliau berkata, dan saya petik, 'Kita mesti selamatkan SUPP'," kata Chin kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Beliau berkata sebagai presiden parti, beliau sukacita mendengar dari mulut ketua menteri sendiri bahawa beliau (Adenan) mahu membantu menyelamatkan SUPP.
"Jadi, ini amat bermakna bagi saya... khabar paling gembira yang saya terima selaku presiden parti," kata Chin.
Beliau berkata SUPP telah membalas surat ROS pada 4 Februari namun sehingga kini belum menerima jawapannya.
Chin turut menyatakan beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama dahulu, berhubung perkara berkaitan ROS.
"Apa-apa pun, keputusan pentadbiran daripada ROS masih perlu dibuat, jadi tunggu sajalah," katanya ketika menjawab soalan sama ada beliau berkeyakinan SUPP boleh diselamatkan.
Ditanya tentang cadangan bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa lebih baik menubuhkan sebuah parti baharu bagi mewakili kaum Cina di negeri ini jika pemimpin parti gagal menyelesaikan perbalahan dalam SUPP, Chin berkata jalan ke arah perdamaian sentiasa ada. - Bernama