Friday, March 28, 2014

MH370: Pakatan Rakyat Akan Bersama Rakyat & Kerajaan China


Pakatan Rakyat hari ini berikrar akan bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan China dalam merungkai cerita sebenar di sebalik tragedi yang menimpa154 orang rakyat negara itu dalam penerbangan MH370 yang masih hilang dan gagal dikesan sehingga sekarang.

Ini setelah Pakatan Rakyat juga; sama seperti rakyat dan kerajaan China, berasa yakin kerajaan Malaysia pimpinan Najib Tun Razak tidak berterus terang dan menyembunyikan fakta berkaitan dengan kehilangan pesawat tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri semalam telah menyatakan keyakinan beliau bahawa MH370 sebenarnya dirampas dan kerajaan BN sengaja tidak mendedahkan perkara ini atas sebab yang hanya mereka saja tahu.

Maklumat yang kita percaya disampaikan oleh agen perisikan asing dari negara tertentu kepada beliau itu menjadi antara topik perbualan hangat di Malaysia hari ini terutama dari aspek kenapa ia tidak didedahkan kerajaan, apa yang cuba disembunyikan?

Justeru, Pakatan Rakyat menyatakan kesanggupannya untuk menjadi 'rakan' kerajaan China dalam isu ini terutama peranan yang akan dimainkan dalam Parlimen.

Ini bertepatan dengan kelebihan yang kita miliki kerana 89 ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berada di dalam parlimen sekarang mempunyai keupayaan untuk menekan kerajaan Malaysia sehingga semua persoalan yang bermain di fikiran ramai orang, terjawab.

Maka itu, beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat akan berjumpa dengan Duta Khas China dalam isu ini, Zhang Yesui, yang juga Timbalan Menteri Luar negara tersebut untuk menyampaikan hasrat itu dan membantu kerajaan serta rakyat China di mana yang perlu.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Pakatan Rakyat bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dari China, sebelum ini pun kerjasama seumpama ini pernah diadakan terutama dalam isu berkaitan pembinaan kilang nadir bumi, Lynas di Pahang.