Friday, March 28, 2014

Pas yakin lahir 'anak sulung' di Sarawak

  • Ariffin DeramanAriffin Deraman
 1 / 1 
KUALA TERENGGAN - Pas Terengganu menjangkakan parti itu bakal memperoleh ‘anak sulung’ di Sarawak dalam pilihan raya negeri itu yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, walaupun Sarawak dikenali sebagai deposit BN, namun sambutan yang diterima pada pilihan raya negeri pada 2011 lalu memberi keyakinan berlaku peralihan sokongan pengundi di beberapa kawasan.

Menurutnya, walaupun kenyataan itu mungkin mengejutkan, pengundi telah menunjukkan penerimaan yang baik terhadap Pas dan turut menang di beberapa peti undi biarpun gagal merebut sebarang kerusi Dun.


“Di Dun Beting Maro, kita kalah tipis kepada BN dengan majoriti 391 undi, beberapa peti undi dalam Dun tersebut kita menang. Sikit sahaja lagi kita hendak menang.

“Keadaan ini menunjukkan kita berpotensi melahirkan ‘anak sulung’ di sana. Lagipun persepsi negatif masyarakat terhadap Pas sudah lenyap. Kalau 15 tahun dulu mereka memanggil Pas dengan parti Jepun, mungkin kerana kita menggunakan simbol bulan tetapi kini tidak lagi,” katanya, di sini.

Kenyataan Ariffin itu juga memperlihatkan bahawa PR sedang bersiap sedia meluaskan pengaruhnya di Sarawak.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, Pas bertanding di lima kerusi Dun iaitu Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro, bagaimanapun parti itu gagal meraih sebarang kerusi.

Berbeza dengan parti lain dalam PR, DAP mendahului dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi, manakala PKR menang di tiga kerusi daripada 49 kerusi yang ditandingi.

Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Adun Alor Limbat tidak menolak Pas berkemungkinan besar menambah bilangan kerusi Dun pada pilihan raya negeri akan datang.

“Kita jangka Pilihan Raya Negeri Sarawak akan berlangsung dalam tempoh setahun atau setahun setengah dari sekarang.

“Kita juga berkemungkinan akan menambah bilangan kerusi Dun berdasarkan permuafakatan yang dibuat dengan parti-parti dalam PR. Kita tidak akan membiarkan BN menang tanpa bertanding,” katanya.