Pakatan Rakyat akan membuat usul undi tidak percaya ke atas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 7hb April ini jika beliau masih enggan mengosongkan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Usul berkenaaan telah pun diserahkan dan diterima oleh pejabat
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh untuk dibentangkan dalam persidangan DUN
Selangor pada 7hb April nanti – sekiranya Khalid masih berdegil.
Wan Azizah yang baru sahaja memenangi kerusi DUN Kajang Ahad
lepas, dijangka mengisi jawatan tersebut, selari dengan keputusan yang dibuat
Majlis Pimpinan Tinggi Pakatan Rakyat berhubung perkara yang sama, beberapa
hari sebelum pengundian DUN Kajang bermula.
JIka Khalid mengosongkan jawatan tersebut secara sukarela
seperti yang diminta, maka 7hb April nanti bukan sahaja memperlihatkan upacara
angkat sumpah Wan Azizah sebagai ADUN Kajang, bahkan juga perlantikan beliau
sebagai Menteri Besar wanita pertama di Malaysia.
Undi tidak percaya ini juga tidak akan diteruskan.
Malangnya, Pakatan Rakyat yakin undi tidak percaya itu
terpaksa diteruskan kerana kita mendapat maklumat bahawa Khalid sedang berusaha
keras untuk mengekalkan jawatannya apabila cuba mempengaruhi beberapa orang
ADUN Pakatan Rakyat yang diketahui bersimpati dengan beliau.
Antaranya ialah ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADUN
Seri Muda, Shuhaimi Shafei serta beberapa orang ADUN PAS – dengan mengetahui
bahawa kesemua ADUN tersebut telah menandatangani surat persetujuan untuk melantik
Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru.
Sementara kesemua 12 orang ADUN BN pula akan menyokong
Khalid sebagai Menteri Besar, bukan kerana mereka yakin dengan kepimpinan
Pakatan Rakyat tapi kerana mahu menyaksikan Pakatan Rakyat berpecah belah.