Monday, March 31, 2014

Saya boleh dipercayai, kata Khalid

pc MB
SHAH ALAM: “Mereka boleh percaya saya!”

Demikian menurut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang berdepan dengan pertandingan enam penjuru untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR apabila disoal apakah kualiti yang membezakannya daripada pencabarnya yang lain.
Abdul Khalid yang mencalonkan diri untuk bertanding bagi jawatan tersebut bakal berdepan dengan penyandangnya, Azmin Ali yang juga Ketua PKR Selangor, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, K Ramachandram dan S Murali.

Abdul Khalid berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan pelancaran u-Pustaka peringkat negeri Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda disini hari ini.
Tambah Abdul Khalid, beliau juga menawarkan perjuangan bertemakan reformasi berintegriti dalam merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.
“Salah satu daripada tema yang saya utarakan ialah reformasi berintegriti. Maknanya Kalau kita nak buat satu perubahan kita juga mesti dipercayai oleh masyarakat dalam penggunaan perubahan.
“Salah satu perkara yang saya boleh nyatakan disini, selepas lima tahun penggal yang saya buat iaitu sejak 2008, kita dah amalkan konsep reformasi berintegriti…(ia) bukan sesuatu yang baru.
Abdul Khalid turut mengalu-alukan penyertaan ramai pihak yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.
“Itu memang biasa, itu bagusnya parti PKR ini memberi minat kepada ramai orang untuk menyertai pertandingan jawatan-jawatan.
“Dengan cara itu, oleh kerana pengundian dibuat kepada semua ahli boleh memberikan undi. Jadi apa yang kita katakan keputusan pemilihan dibuat oleh akar umbi bukan dengan cara perwakilan,” katanya lagi.
Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.
Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik prosespengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei