Saturday, March 29, 2014

Sokongan kaum Cina semakin meningkat

KUALA TERENGGANU – Masyarakat Cina kini didapati semakin menyedari peranan dimainkan BN dan ia terbukti menerusi peningkatan undi diperoleh MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, Ahad lalu.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, keadaan itu merupakan perkembangan positif selepas keyakinan sebahagian besar masyarakat Cina terhadap BN semakin berkurang hingga ada yang berpaling tadah pada PRU13 lalu.

Menurutnya, usaha menambah keyakinan rakyat perlu dipertingkatkan BN terutama MCA melalui kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi memastikan perubahan positif itu berterusan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Ini menampakkan Cina kembali kepada BN. Mungkin mereka sudah sedar tiada manfaatnya memberi undi kepada PR. Contohnya di kawasan Dun Bandar sendiri, masyarakat Cina berhadapan masalah besar.

"Walaupun pembangkang menang 15 kerusi di Terengganu, mereka tidak boleh buat apa-apa. Saya jumpa orang Cina dan mereka beritahu menghadapi banyak masalah di kawasan Dun Bandar,” katanya, di sini.

Abu Bakar berkata, sokongan masyarakat Cina tidak harus disia-siakan, sebaliknya parti komponen BN perlu melakukan sesuatu bagi memastikan pengundi tidak terus terpengaruh dengan propaganda pembangkang.

Katanya, masyarakat Cina mungkin beria-ia untuk menukar kerajaan pada PRU13 lalu sehingga mengetepikan peranan dan sumbangan dilakukan kerajaan, namun keyakinan mereka itu mula terhakis apabila sedar peranan dimainkan pembangkang tidak sebaik kerajaan.

Pada PRK Dun Kajang, Ahad lalu, calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun tewas kepada calon PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, bagaimanapun Mei Fun mendakwa beliau berjaya menaikkan peratusan undi Cina daripada 18 peratus pada PRU13, kepada 24.8 peratus pada PRK kali ini.