Friday, March 7, 2014

Teresa terkejut telur busuk pecah di tangan

  • Teresa terkejut telur busuk pecah di tanganTeresa menyampaikan ceramah isu semasa di Taman Cermai, Permatang Pauh, kelmarin.
 1 / 1 
BUKIT MERTAJAM - Ceramah isu semasa di Taman Cermai, Permatang Pauh kecoh seketika apabila sebutir telur pecah di tangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok  selepas beliau  bersalam dengan seorang lelaki tidak dikenali kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Teresa yang baru selesai memberi ceramah didatangi lelaki yang ingin bersalaman dengannya.

Beliau yang sedang duduk bersebelahan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menghulurkan tangan dan telur ayam yang berada dalam genggaman lelaki terbabit pecah mengenai tangannya.


Keadaan agak tegang seketika apabila orang ramai yang ternampak insiden terbabit kemudiannya bertindak mengepung lelaki terbabit sebelum ditahan.

Lelaki yang dipercayai berusia 30-an itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam.

Teresa yang juga Pengerusi DAP Selangor kemudiannya diiringi ke tandas untuk mencuci tangan dan meninggalkan lokasi ceramah sejurus selepas kejadian itu.

Teresa ketika dihubungi semalam menyifatkan insiden berkenaan sebagai cubaan menjatuhkan maruahnya.

Beliau percaya kejadian itu merupakan kejadian yang telah dirancang.

“Dari awal lagi, saya telah tahu ada sesuatu yang telah dirancang terhadap saya. Tetapi saya tidak menyangkakan perkara seperti ini boleh berlaku.

“Saya tidak boleh katakan perkara ini sebagai satu perkara yang mengembirakan hati saya apabila ada orang melakukan perkara tersebut,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa beliau telah ditampar dalam kejadian tersebut.

“Mereka hanya mahu menerbitkan berita yang menyatakan saya ditampar di khalayak umum tetapi perkara tersebut tidak akan menjatuhkan saya.

“Saya percaya diri saya tidak bersalah walaupun saya dituduh dengan berbagai tuduhan dari pihak yang tidak puas hati,” katanya.

Dalam pada itu, bimbang dengan keselamatan diri, Teresa membuat satu laporan polis.

Terdahulu dalam sesi ceramahnya kelmarin, beliau turut menayangkan semula video ONEderfull Malaysia CNY 2014 yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Teresa mempertikaikan mengapa perlu dia memohon maaf sedangkan apa yang cuba disampaikan menerusi video terbabit melibatkan isu semasa yang berlaku dalam negara.

“Ia berbentuk komedi sahaja dan pernahkah saya mengatakan Melayu bodoh atau menghina Islam?.

“Saya tak tahu kenapa dan kepada siapa perlu mohon maaf seperti yang didesak pihak tertentu,” katanya.
Beliau tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini dan tidak menolak kemungkinan keadaan mungkin akan bertambah teruk.
“Saya menjadi sasaran musuh politik dan tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya selepas ini,” katanya.