Adakah Kajang akan menyaksikan Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya kecil yang bakal berlaku tidak lama lagi bagi menggantikan Anwar Ibrahim yang sedang berdepan dengan kes rayuan pendakwaannya?
Dengan kes mahkamah yang sedang berlangsung ketika ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah yang akan berlaku sekiranya mahkamah memilih untuk menerima permohonan rayuan yang dipanjangkan oleh pihak kerajaan terhadap keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat sebelum ini.
Apa pula nasibnya dengan Kajang Move yang dicetuskan oleh minda paling hebat dalam PKR, Rafizi Ramli?
Adakah mungkin Rafizi terlupa untuk mengambil kira semua ini sebelum dia membuat keputusan untuk mengheret penduduk Kajang ke dalam permainan politik yang sudah nyata sekarang hanyalah untuk merealisasikan agenda politik peribadi Anwar Ibrahim.
Strategi yang kononnya hebat ini sekarang hanya jadi bahan lawak umum.
Kasihan Rafizi yang bertungkus-lumus berpencak menangkis pelbagai cakap-cakap yang rata-rata cuba untuk ‘menjatuhkan’ Anwar, dari dalam dan juga luar partinya sendiri.
Namun semakin banyak yang keluar dari mulut Rafizi, semakin mengarut bunyinya.
Jika hendak dibandingkan dengan Rafizi, saat ini Khalid Ibrahim nampaknya lebih bijak mengatur strategi dan lebih baik dalam cara melaksanakannya.
Walau bagaimanapun, apa yang pasti adalah sekiranya mahkamah memilih untuk menerima rayuan pihak kerajaan terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini, satu Malaysia akan bergegar dengan teriakan penyokong-penyokong pro-Pakatan yang melaungkan ketidakadilan terhadap Ketua Umum PKR kesayangan ramai ini.
Calon ganti
Di sebalik semua ini, terdapat bisik-bisik dari dalam PKR sendiri bahawa mereka sedang bersedia menghadapi kemungkinan Anwar tidak dapat bertanding di dalam pilihan raya kecil Kajang.
Dengan yang demikian mereka telah menyenaraikan nama-nama individu yang pada mereka layak untuk menggantikan Anwar sebagai calon.
Antara nama yang disebut adalah tidak lain dan tidak bukan, Rafizi. Bagaimana dan mengapa Rafizi harus tersenarai serta dianggap sebagai calon yang sesuai, hanya orang-orang dalam PKR yang mampu menjawabnya.
Hanya mereka yang tahu mengapa mereka mahu meletakkan nasib penduduk Kajang di tangan individu seperti Rafizi yang nyata begitu ‘komited’ dengan tugasnya sebagai pencerna strategi untuk PKR.
Jangan nanti penduduk Kajang hanya dapat melihat batang hidung wakil rakyat mereka melalui berita-berita pendedahan (expose) di dalam media.
Satu lagi nama yang dicadangkan adalah Saifuddin Nasution. Apa yang boleh dikatakan mengenai Saifuddin selain daripada sebagai mantan Pengarah Strategi PKR, apa ‘strategi’ hebat yang telah dicetuskan olehnya?
Apa yang mungkin langkah paling bijak dibuat oleh PKR selepas PRU13 lalu, dengan mengambil kira kebarangkalian Anwar tidak dapat meneruskan cita-citanya ke Putrajaya melalui Kajang, adalah dengan melupakan dua nama yang terdahulu dan memilih nama ketiga yang dicadangkan. Nurul Izzah Anwar.
Hanya dengan Nurul Izzah menggantikan Anwar (sekiranya Anwar tidak dapat bertanding), PKR punya peluang untuk menebus kesilapan yang mereka lakukan kerana mempergunakan pengundi-pengundi di Kajang sebagai alat untuk kepentingan politik individu Ketua Umum parti itu.
Sekiranya Rafizi atau Saifuddin yang mereka pertimbangkan untuk menggantikan Anwar sebagai calon maka ucaplah selamat tinggal kepada PKR.
Siapa yang mahu meletakkan kepercayaan pada individu yang tuturnya seperti lalang dan langkahnya banyak yang sumbang?