Tuesday, March 25, 2014

Tragedi MH370 - Satu Konspirasi UMNO?


Beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat meluahkan pendapat menarik di Facebook dan Twitter apabila mengaitkan tragedi yang menimpa krew dan penumpang pesawat MH370 ini dengan konspirasi terancang yang dilakukan oleh UMNO.

Menurut mereka, tidak mungkin kehilangan dan pengesahan bahawa pesawat itu sememangnya terhempas malam tadi, berlaku pada waktu yang hampir sama dengan keputusan Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemenangan Datin Seri Wan Azizah di Kajang.

Seolah-olah kejadian ini sengaja dirancang pada waktu yang sesuai untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kedua-dua peristiwa besar tersebut.
Memandangkan isu ini (konspirasi UMNO) sudah menjadi perbualan ramai orang, maka Pakatan Rakyat akan menjalankan satu kajian mendalam bagi mencari kaitan UMNO dengan kejadian tersebut seperti yang dikehendaki rakyat.

Kita akan melihat daripada beberapa aspek, terutama sekali teknologi apakah yang digunakan sehingga semua sistem komunikasi dan radar pesawat itu termati dengan sendirinya dan juruterbang tidak dapat mengambil alih kawalan manual, mahupun memaklumkan menara kawalan.


Soal bagaimana, pesawat itu berpusing dari arah yang sebenarnya di Beijing tidak begitu sukar dirungkai kerana pesawat secanggih itu mempunyai sistem auto pilot yang boleh diprogram untuk terbang ke mana sahaja sehingga minyak habis.

Yang menjadi kemusykilan kita sekarang ialah dengan apa cara UMNO boleh menembusi sistem keselamatan pesawat tersebut dan menghempaskannya ke laut apatah lagi bila juruterbang pesawat ini, Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah ahli seumur hidup PKR dan tidak mungkin mengikut kemahuan UMNO begitu sahaja.

Kita yakin, walaupun keputusan Mahkamah untuk memenjarakan Anwar mungkin memberi kesan yang agak besar kepada Kapten Zaharie, tapi tidak sampai nak menghempaskan pesawat yang dibawanya sendiri.

Semua aspek inilah yang akan diteliti Pakatan Rakyat, yang mana jika terbukti penglibatan ini benar, mampu menumbangkan UMNO/BN dari semua peringkat, persekutuan dan juga negeri.

Pakatan Rakyat pasti, UMNO ada 'saham' yang besar dalam kejadian ini kerana ia terbukti menguntungkan parti tersebut apabila berjaya membuatkan momentum kebangkitan rakyat setelah penganiayaan yang dilakukan terhadap Anwar lenyap begitu sahaja bila pesawat itu dilaporkan hilang beberapa jam selepas Mahkamah menjatuhkan hukuman.

Dalam keadaan biasa, rakyat pasti akan mengambil peluang untuk mengadakan demonstrasi jalanan bagi mempertahankan Anwar dari dizalimi, tapi kehilangan pesawat ini telah menghilangkan mood rakyat untuk berdemonstrasi.

Sementara kemenangan besar Wan Azizah di Kajang kelmarin yang sepatutnya menghidupkan semula momentum 'Kajang Move' juga terbantut bila Najib secara tiba-tiba mengumumkan malam tadi bahawa ada bukti menunjukkan pesawat itu terhempas di Lautan Hindi.

Jika sesiapa tidak nampak apa-apa yang tidak kena dengan keseluruhan episod ini, memanglah orang itu sebodoh-bodoh manusia.