ALOR SETAR - Mesyuarat agung tahunan (AGM) DAP Kedah dijadualkan Jun ini akan diteruskan untuk melantik kepimpinan baru.
Pengerusinya, Lee Guan Aik berkata, keputusan itu adalah muktamad selepas mendapat persetujuan semua ahli jawatankuasa parti itu dan undang-undang membenarkannya tanpa perlu mendapatkan kebenaran DAP Pusat.
Beliau berkata, ini kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) belum diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas dua kali diadakan pemilihan semula.

"DAP Kedah berhak mengadakan AGM selepas mendapat pengiktirafan dari ROS, 4 Disember tahun lalu.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Kalau tak buat AGM itu nanti, kita pula akan dipersalahkan oleh ROS sebab tidak mengadakan AGM berdasarkan perlembagaan parti," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, AGM itu sepatutnya diadakan tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana timbul beberapa konflik dalam DAP Kedah.
Mengulas mengenai tindakan tata tertib yang mungkin dikenakan jika mengadakan AGM tanpa kebenaran parti, beliau enggan mengulas lanjut.
“Kita cuma nak perbetulkan keadaan dan menghormati ahli DAP Kedah yang lain. Kalau mereka nak ambil tindakan terhadap saya, biar ROS yang tentukan siapa bersalah dan sebaliknya.
“Sekiranya mereka tetap nak ambil tindakan, saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, tindakan Guan Aik untuk mengadakan AGM pada bulan Jun nanti melanggar perlembagaan parti.
Ahli CEC DAP, Zairil Khir Johari Abdullah berkata, AGM itu tidak sah kerana belum mendapat persetujuan Pusat.
Beliau berkata, Guan Aik mungkin dikenakan tindakan tata tertib oleh parti jika terus mengadakan AGM.