PAS dilapor akan membentang rang undang-undang di Parlimen yang bakal membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan pada bila-bila masa dari sekarang.
Ini setelah kerajaan pusat, melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi kebenaran supaya hudud dilaksanakan di negeri tersebut, mengikuti jejak Brunei yang mula melaksanakan hukuman tersebut pada 1 April yang lepas.
Rang undang-undang itu khabarnya akan disokong oleh semua ahli Parlimen BN yang beragama Islam dan PAS, sementara ahli Parlimen BN yang bukan beragama Islam akan mengambil pendirian berkecuali.
Ahli-ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat dari PKR dan DAP pula, tanpa mengira pegangan agama akan menentang sekeras-sekerasnya pembentangan rang undang-undang yang disifatkan zalim serta tidak berperikemanusiaan - walaupun ia dibentang oleh rakan komponen sendiri.
Tapi tindakan ini nanti akan memberi bayangan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat berpecah belah.
Nampaknya hudud yang menjadi senjata utama PAS selama berdekad-dekad, kini sudah menjadi kekuatan UMNO pula untuk memecah belahkan kesatuan dalam Pakatan Rakyat dengan pembentangan rang undang-undang ini.
Kononnya, Najib sebagai orang Islam, tidak ada keberanian menolak undang-undang Islam setelah ia dibentangkan di Parlimen. Najib ikut lapurannya, tak seperti Mahathir yang bertegas hukuman seperti itu tidak boleh diadakan di Malaysia sama sekali.
Ikut perkiraan mudah, jika semua ahli parlimen BN beragama Islam, dicampur dengan 21 ahli Parlimen PAS menyokong rang undang-undang tersebut, ia sudah boleh diluluskan parlimen dan hudud akan menjadi undang-undang rasmi di Kelantan.
Jika itu berlaku, negara ini akan beransur-ansur menjadi negara Islam sepenuhnya walaupun hanya dilaksanakan di satu negeri, dari 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan yang ada.
Pakatan Rakyat tidak boleh membenarkan ini berlaku sama sekali kerana ia mencabul hak asasi manusia dan seterusnya mendedahkan negara ini kepada kecaman dan sekatan yang bakal dikenakan oleh negara-negara luar.
Dalam keadaan imej negara tercalar teruk berikutan pengurusan krisis MH370 yang buruk, kita tidak lagi mampu menghadapi satu lagi bentuk krisis kepercayaan seperti ini kerana ia boleh meletakkan negara ini dalam keadaan bahaya.
Maka itu, Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin telah mengeluarkan amaran keras kepada PAS agar tidak membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen seperti mana cadangan kerajaan Kelantan di atas.
Jika dilaksanakan juga, keanggotaan PAS dalam Pakatan Rakyat akan digantung dengan serta merta dan semua penglibatan PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang, baik sebagai Exco, Ahli Majlis dan sebagainya, akan terbatal dengan sendirinya.
Pilihan di tangan PAS.