Semua ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH370 dari China yang hilang sejak 3 minggu lepas, berasa terpukul dan terhina dengan kenyataan Duta negara itu ke Malaysia Huang Huikang semalam yang ternyata berlainan dengan laporan media sebelum ini.
Huang dipetik media sebagai mempertahankan cara Malaysia mengendalikan krisis ini disamping memuji Najib Tun Razak kerana kononnya memilih perkataan betul apabila memberi gambaran bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Tambah mengejutkan, Huang juga menyifatkan Malaysia dan China seperti 'adik beradik'!!
Kenyataan itu sangat berlainan dengan laporan-laporan media antarabangsa sebelum ini yang menunjukkan ketidakpuasan hati kerajaan China dan rakyatnya mengenai cara Malaysia mengendalikan krisis ini.
Beijing sebelum ini menuduh Malaysia tidak membekalkan maklumat yang tepat, termasuk kebarangkalian menyembunyikan maklumat-maklumat tertentu, entah untuk tujuan apa. Ini termasuklah keengganan Malaysia menyerahkan data satelit Inmarsat yang menjadi asas kepada kenyataan Najib pada 24 Mac yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi.
Selain itu, sentimen anti Malaysia juga semakin meningkat di China berikutan berlakunya tragedi ini menggambarkan ketidakpuasan hati tersebut, tapi anehnya Duta China memberikan kenyataan yang jelas berlawanan dengan apa yang digambarkan media antarabangsa sebelum ini.
Pakatan Rakyat yang selama ini berdiri teguh di belakang rakyat dan negara China juga berasa tertipu dan dibodohkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Huang.
Kita sudah bersedia untuk menjadi proksi kerajaan China dalam menekan kerajaan Malaysia untuk tidak menyembunyikan apa-apa maklumat lanjutan dari kejadian ini. Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk membahaskan isu ini secara panjang lebar di Parlimen tapi dengan perkembangan terbaru ini, hasrat tersebut mungkin terpaksa dibatalkan.
Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah Huang atau media antarabangsa seperti CNN yang sebenarnya memberikan gambaran yang salah mengenai pendirian sebenar kerajaan China berhubung cara Malaysia mengendalikan krisis ini?
Pakatan Rakyat merasakan, tidak mungkin media-media antarabangsa yang diakui hebat dari segi kredebiliti dan intergriti, menipu dalam soal ini (pendirian kerajaan China mengenai cara Malaysia mengendalikan krisis).
Ini mungkin disebabkan Huang telah diberikan maklumat yang salah ataupun apa-apa faktor yang seperti itu. Apa sekalipun, kenyataan Huang semalam tidak mencerminkan hasrat sebenar waris penumpang pesawat tersebut yang berasal dari negara itu.