Malam tadi, ratusan ribu rakyat yang hadir ke program pelancaran Reformasi 2.0 di Seremban, berasa kecewa (dan kemudiannya sedih) dengan ketidakhadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rupa-rupanya dimasukkan ke Prince Court Hospital kerana tidak sihat.
Perkara itu (Anwar sakit), dimaklumkan oleh puteri sulung beliau yang mewakilinya dalam himpunan malam tadi, Nurul Izzah Anwar. Difahamkan, sebahagian besar dari yang hadir, mengalirkan air mata apabila memikirkan kesengsaraan yang dialami pemimpin ulung Pakatan Rakyat itu.
Sememangnya Anwar diketahui mempunyai pelbagai jenis penyakit, seperti darah tinggi, tulang belakang dan sebagainya, hasil penyeksaan dan kezaliman yang dilakukan BN terhadap beliau sejak mula dipecat dari kerajaan pada 1998.
Dikatakan, sakit kesan ditumbuk oleh bekas Ketua Polis Negara, Rahim Nor tahun 1998 dulupun masih terasa sehingga sekarang.
Tapi dengan keadaan beliau yang uzur sebegitupun, UMNO masih tidak berhenti-henti mencari peluang untuk memenjarakan beliau dengan dakwaan sama - liwat. Apa sudah tidak ada idea lainkah, sehingga idea Mahathir ini juga yang diulang pakai setiap kali?
Cuba bayangkan kalau Mahathir itu yang disumbatkan ke dalam penjara atas pelbagai kesalahan yang dilakukannya dulu, lebih-lebih lagi pada usia sekarang, apakah agaknya perasaan orang-orang UMNO?
Sudah tentu marah, geram dan terasa ingin membalas dendam bukan? Begitulah yang dirasakan oleh penyokong Pakatan Rakyat sekarang bila Anwar yang dibelenggu dengan pelbagai penyakit dan kesusahan, masih mahu dipenjarakan oleh UMNO.
Tahap kesakitan dan penderitaan yang dihadapi Anwar sekarang, perlulah diambil berat oleh institusi kehakiman negara kita bila membuat keputusan kes liwat yang dihadapi beliau bila kes ini dibicarakan di Mahkamah Persekutuan nanti.
Kalau Anwar benar-benar bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari secara paksa (hakikatnya suka sama suka), kita terima, tapi atas jasa yang pernah beliau sumbangkan kepada negara ini dari dulu hingga sekarang, serta mengambil kira tahap kesihatannya, beliau seharusnya dibebaskan saja dari tuduhan tersebut.