Monday, April 14, 2014

Bahan komoditi jadi tumpuan pendakwa

KUALA LUMPUR: Komoditi yang terkandung dalam invois urusniaga anak syarikat Kumpulan Felda, Felda Iffco Oil Products Sdn Bhd dengan Bunge Agribusiness Singapore Ptd Ltd  dipersoalkan pihak peguam plaintif pada sesi perbicaraan saman fitnah Felda terhadap Mazlan Aliman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.
Peguam plaintif,   Datuk Mohd Hafarizam Harun ketika menyoal balas  Mazlan mahukan pengesahan bahawa komoditi yang diperniagakan Felda Iffco dan Bunge berdasarkan invois adalah RBD Palm Olein dan bukannya minyak sawit mentah (MSM).

Mazlan menegaskan bahawa berdasarkan maklumat yang diterima, MSM dibawa ke pelabuhan Pasir Gudang untuk ditapis sebelum dieksport. Penjelasan beliau bagaimanapun dihalang Hafarizam yang mahukan beliau menjawab 'ya' atau 'tidak'.
Hafarizam turut mempersoalkan dakwaan bahawa destinasi komoditi yang dijual kepada Bunge adalah pelabuhan Ashdod, Israel  sedangkan maklumat yang tertulis pada dokumen urusniaga adalah pelabuhan Adabiya, Mesir.
Malah menurut Hafarizam, tiada satu pun invois Felda Iffco yang dijadikan bahan bukti mahkamah menunjukkan destinasi komoditi adalah ke pelabuhan Israel.
Walaupun diasak peguam plaintif, Mazlan tidak bersetuju dengan cadangan bahawa tiada minyak sawit mentah yang dijual kepada Israel melalui Bunge oleh Felda Iffco.
Malah beliau tidak bersetuju dengan cadangan Hafarizam bahawa Felda Iffco tiada kena mengena dengan Felda berdasarkan bukti invois.
Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menafikan cadangan peguam plaintif bahawa beliau gagal mengemukakan bukti dokumen penjualan MSM kepada Bunge sebagai bahan bukti mahkamah.
Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Lee Hen Chong.
Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Defendan diwakili Mohamed Hanipa Maidin, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.