Monday, April 14, 2014

PKR cabar Terengganu bawa RUU hudud ke Parlimen

  • Datuk Saifuddin Nasution IsmailDatuk Saifuddin Nasution Ismail
 1 / 1 
PETALING JAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dicabar menasihati menteri besar dan Ahli Parlimen BN Terengganu untuk mengemukakan rang undang-undang mengenai hudud ke Parlimen jika beliau benar-benar ikhlas menyokong tindakan sama oleh kerajaan negeri Kelantan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan oleh kerana kedua-dua Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dan Terengganu telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang diluluskan pada 1993, BN Terengganu sepatutnya membawa usul tersebut ke Parlimen untuk dilaksanakan.

"Saya menganjurkan kepada Datuk Jamil Khir supaya menasihati Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan MP BN Terengganu membawa rang undang-undang sama ke Parlimen.


"Itupun kalau benar Jamil Khir bersungguh-sungguh dan berpegang janji akan memberi sokongan untuk melaksanakannya kepada kerajaan negeri Kelantan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pendirian PKR berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob untuk membawa rang undang-undang persendirian tersebut ke Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Perkara itu juga mendapat respon positif daripada Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang bersedia melobi 87 Ahli Parlimen BN beragama Islam bagi menyokong usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Saifuddin menambah pendirian PKR berhubung itu hudud itu masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden yang dibuat pada akhir 2011 lalu.

"Sehingga jelas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pembentangan rang undang-undang persendirian oleh Pas itu berkenaan enakmen ini, barulah PKR akan membawa perkara ini kepada perbincangan di peringkat tertinggi.

"Buat masa ini kita belum menerima sebarang penjelasan itu daripada pimpinan Pas," katanya.

Menurutnya, sehingga kini perkara tersebut sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa Pas pusat.

"Jawatankuasa Pas Pusat sudah berbincangkan cadangan itu tetapi belum ada keputusan jelas berkenaan proses itu akan dijalankan.

"Biro Politik Pas Pusat akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkannya, ia yang difahamkan oleh rakan-rakan pimpinan Pas," katanya.

Pada mesyuarat PR pada 2011 di Pejabat Agung Pas, tiga perkara dicapai iaitu majlis presiden menghormati Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan yang diluluskan pada November 1993 oleh Dun Kelantan.

Enakmen sama juga telah diluluskan oleh Dun Terengganu pada tahun sama.