Friday, April 18, 2014

Baiki pengurusan kewangan, bukan kenakan GST


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu mengelirukan rakyat kononnya Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST), akan membawa negara lebih ke hadapan.

Sebaliknya kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, tindakan yang kan membawa negara ke hadapan adalah pengurusan kewangan yang bersih dan cekap.

"Beliau mendakwa bahawa langkah ke depan atau 'the way forward' adalah melalui GST.

"Dakwaan itu tidak betul kerana 'the way forward' ialah pengurusan kewangan yang bersih dan cekap," katanya.

Mahfuz berkata, sekurang-kurang 52 peratus rakyat tahu dan sedar bahawa pengurusan kewangan negara berada di tahap yang buruk.

"Lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menjadi bukti nyata bahawa masih berleluasa gejala-gejala buruk seperti penyelewengan, tidak amanah, ketirisan, mengutamakan kroni, sambil lewa dan cuai.

"Malah, setiap kali dibentangkan Laporan Ketua Audit Negara. kita akan menyaksikan kerugian berpuluh bilion ringgit dan para pemimpin kerajaan terlepas begitu sahaja kecuali beberapa ikan bilis yang dikenakan tindakan," katanya.

Sebagai contoh, kata Mahfuz lagi, ialah sikap pemimpin kerajaan Barisan Nasional berhubung pembelian 257 buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan dengan harga yang dilaporkan enam kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran.

"Ahli-ahli Parlimen masih ingat apa Menteri Pertahanan ketika itu, (Datuk Seri) Zahid Hamidi kata. Dia kata, dia tidak tahu menahu tentang hal itu.

"Sedangkan, dia sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu," katanya.

Zahid dilaporkan hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga pembelian kereta-kereta perisai tersebut di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011.

Laporan juga menyatakan, Kementerian Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.

Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku itu bukan sahaja bukti amalan pengurusan kewangan negara tahap terburuk malah sikap tidak bertanggungjawab.

"Kita kemukakan kesemua contoh itu untuk membuktikan bahawa bukan GST yang menjadi cara memastikan kedudukan kewangan negara semakin mantap dan kukuh, tetapi pengurusan kewangan yang bersih, jujur dan cekap," katanya.

Beliau mempersoalkan, jika dikutip berbilion-bilion sekalipun dari perlaksanaan GST, apa jaminan yang tidak diurus dengan baik seperti yang berlaku sekarang?

"Apa jaminan tidak ada penyelewengan, rasuah, tidak amanah, ketirisan, mengutamakan kroni, sambil lewa dan cuai," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berkata, memang "menjadi perangai" kerajaan BN suka memberi ubat yang lain kepada penyakit yang lain.

"Sakit gigi (tetapi) bagi ubat sakit kaki," katanya memberi perbandingan.

Dalam dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, Najib mendakwa, pengenalan GST adalah baik untuk ekonomi dan negara tidak boleh bergantung dengan dasar yang begitu populis.

“Misalnya dunia tahu GST baik untuk ekonomi sesebuah negara, kita semua yakin langkah ke depan adalah melalui GST yang boleh menentukan masa depan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat,” dakwa Perdana Menteri.