Friday, April 18, 2014

Tiada jaminan orang Melayu akan terbela di bawah PKR

syed-ali-alhabshee
PETALING JAYA: Tiada jaminan bahawa orang Melayu akan terbela masa depan mereka jika terus bernaung di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, pengakuan sendiri Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali jelas menunjukkan bahawa parti tersebut tidak mempunyai hak ekslusif untuk bangsa Melayu.
Dalam kenyataan Azmin juga, beliau menjelaskan kepada umum bahawa PKR bukan parti Melayu.

Berikutan itu, orang Melayu yang masih lagi setia bersama PKR akan terus terpinggir apabila majoriti pucuk pimpinannya dikuasai bukan Melayu.
“Akhirnya PKR akan menjadi sebuah parti mirip DAP, dan kepentingan orang Melayu akan terus terhakis dan tidak mempunyai hak untuk bersuara,” katanya dalam dalam posting blognya yang terbaru www.umnobahagiancheras.blogspot.com
Tambah Syed Ali lagi, penegasan Azmin itu membuktikan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memperalatkan orang Melayu untuk kepentingan agenda politik beliau.
“Selama ini, orang Melayu hanya dijadikan alat oleh Anwar dan konco-konconya bagi menjayakan politik reformasi dan demontrasi jalanan,” ujarnya.
Tegas beliau lagi, matlamat perjuangan politik UMNO pula jauh bezanya jika dibandingkan dengan PKR, iaitu sebuah parti politik jalanan yang mengumpul kekuatan dengan cara menghasut rakyat.
Katanya, perjuangan dan masa depan orang Melayu menjadi teras utama perjuangan Umno di samping terus menghormati hak kaum lain di Malaysia menerusi gagasan yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa Umno telah berjaya meletakkan orang Melayu sebagai satu bangsa yang mempunyai hak dan keistimewaan di negara ini.
“Dengan pengakuan Azmin itu, saya berharap segelintir orang Melayu yang masih lagi bernaung di bawah PKR akan segera keluar meninggalkan parti itu,” katanya.
Azmin ketika melancarkan kempen Keadilan Raya bagi mempertahankan jawatannya selaku timbalan presiden parti di Dewan MBPJ, Petaling Jaya menjelaskan bahawa PKR bukan parti Melayu tetapi untuk seluruh anak Malaysia.
Beliau bakal berdepan dengan saingan sengit dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menjelaskan demikian bagi menepis dakwaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa PKR merupakan parti berteraskan Melayu.
Azmin dalam usaha untuk mempertahankan jawatannya dicabar hebat oleh Saifuddin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ahli PKR cawangan Hulu Selangor, Datuk K. Ramachandran.
Dalam ucapannya baru-baru ini,  Azmin turut mempertahankan kepimpinan Anwar dan menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata pengakuan ADUN Bukit Antarabangsa itu juga membutikan bahawa PKR tidak mempunyai hala tuju perjuangan politik.
“Parti itu tidak pernah konsisten untuk membela rakyat, tetapi hanya cenderung untuk mengekalkan kuasa politik Anwar,”ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kesediaan Anwar mencabar kedudukan ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Presiden PKR hanyalah sekadar gimik dan sandiwara politik yang dibuat oleh mereka.
“Ini semua tak masuk akal, suami beria-ia nak lawan isteri bagi jawatan yang sama di dalam parti,” ujarnya sambil menyifatkan sesiapa yang menerajui parti itu tidak memberi kesan kepada UMNO.