KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) menegaskan bahawa belum ada keputusan pasti mengenai impak positif atau negatif yang bakal diterima Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Mahshar turut menolak dakwaan yang menyebut Malaysia merupakan negara kedua terbesar penerima manfaat daripada perjanjian itu.
“...sebab itu, kerisauan kami paling utama adalah kita belum ada laporan kos dan manfaat. Jadi, kalau ada laporan yang kata kita akan dapat keuntungan, kita negara kedua yang akan mendapat manfaat...berdasarkan satu laporan Peterson Institute (Peterson Institute for International Economics).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Mahshar turut menolak dakwaan yang menyebut Malaysia merupakan negara kedua terbesar penerima manfaat daripada perjanjian itu.
“...sebab itu, kerisauan kami paling utama adalah kita belum ada laporan kos dan manfaat. Jadi, kalau ada laporan yang kata kita akan dapat keuntungan, kita negara kedua yang akan mendapat manfaat...berdasarkan satu laporan Peterson Institute (Peterson Institute for International Economics).
"Malangnya laporan ini tidak cukup dan laporan ini juga telah dikritik teruk.
“Jadi, kita tidak boleh bergantung hanya kepada satu laporan untuk memberi justifikasi. Malah laporan itu juga tidak menganalisa dan meneliti tentang politikal dan sosio-ekonomi di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil desakan akhirnya kerajaan menjalankan kajian kos dan faedah TPP terhadap kepentingan negara dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun lalu.
“Kita perlu ada laporan itu. Setelah desakan daripada MTEM dan Bantah TPP, kerajaan Malaysia mula menjalankan analisa itu dan kita masih menunggu hasil daripadanya.
"Jadi, betul ke kita mendapat manfaat? Itu tidak tahu.
“Secara umumnya, perdagangan kita dengan AS terus bertambah (walaupun) tanpa TPP. Jadi adakah ia (TPP) memberi implikasi positif atau negatif? Kita tidak tahu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan cadangan agar peringkat perbincangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dengan masyarakat difokuskan kepada kumpulan khusus bagi setiap industri terlibat.
“Alhamdulillah atas pandangan kita, kerajaan mengambil beberapa langkah yang proaktif walaupun bagi kita tidak mencukupi tapi sudah ada penambahbaikan ke arah proses-proses itu.
“Setakat ini perbincangan atau pertemuan dengan masyarakat sivil atau industri ini masih berlegar pada isu-isu luaran sahaja. Jadi, kita mencadangkan agar ada perbincangan dengan kumpulan fokus untuk menangani isu khusus contohnya kumpulan perubatan dapat berbincang bersama perunding Miti berkenaan khusus untuk isu perubatan,” katanya.
Tambahnya lagi, “semua ini perlu ada perbincangan mendalam supaya kita juga boleh memberi input dan juga panduan tentang pendirian yang sepatutnya berlaku.”
Tahun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, hasil kajian itu sangat penting sebagai panduan untuk kerajaan sama ada menerima atau menolak keanggotaan TPP.
Sebelum ini, kajian itu dijangka siap November tahun lalu.