Monday, April 28, 2014

Menumpang kekuatan Nurul?

Izzah Saifuddin Rafizi
Gabungan ‘Masa Depan Bersama’ yang didukung oleh Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli pada mula mungkin satu-satunya senjata utama yang diwujudkan dalam parti bagi menyekat atau mungkin juga membunuh pengaruh Azmin Ali.

Namun simbiosis ini lebih kepada parasitisme berbanding mutualisme, dan Nurul Izzah sedar akan kenyataan ini.
Dari awal memang sudah jelas bahawa Saifuddin dan Rafizi hanya mahu menumpang kekuatan Nurul Izzah dalam parti bagi meraih sokongan terhadap mereka.

Rafizi dan Saifuddin perlukan strategi kempen yang bijak bagi mencari peluang berada dalam barisan kepimpinan tertinggi PKR dan Nurul Izzah adalah pilihan terbaik bagi mencapai yang demikian.
Berlainan dengan Rafizi dan Saifuddin, Nurul Izzah telah membuktikan pada umum bahawa dia adalah nafas baru dalam parti.
Berdiri antara pemimpin muda PKR yang paling aktif turun padang menyelesaikan masalah rakyat, Nurul Izzah punya karisma serta ‘crowd appeal’ yang tersendiri.
Puteri Anwar Ibrahim ini tidak lagi dibayangi cara kepimpinan bapanya dan biarpun berdepan dengan masalah rumahtangga, juga serangan dari dalam partinya sendiri, namum dia masih terus berpegang pada prinsip serta tanggungjawab yang digalas.
Meskipun kurang disenangi nama-nama besar lain dalam parti, Nurul Izzah mendapat sokongan akar umbi dan kenyataan bahawa dia adalah seorang pemimpin muda yang gigih mendukung suara rakyat tidak boleh dinafikan.
Kekuatan inilah yang mahu digunakan oleh Rafizi dan Saifuddin bagi memastikan kejayaan mereka.
Ini bukan kali pertama Rafizi cuba menggunakan Nurul Izzah, malah dalam pemilihan parti yang sebelumnya Rafizi mahu Nurul Izzah bertindak menjadi ‘running mate’ untuk melobi jawatan Ketua AMK.
Keengganan Nurul Izzah bersekongkol dengan Rafizi kemudian membuat Rafizi menarik semula pencalonannya.
Mungkin sebagai ‘whistle blower’, Rafizi memang hebat namun mungkin kehebatannya hanya setakat itu.
Kekurangan Saifuddin
Pakar strategi PKR ini sebenarnya masih terkapai-kapai mencari hala tuju dalam parti apatah lagi dengan kegagalannya menyingkirkan Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor.
Kajang Move juga telah menjadi titk hitam bagi Rafizi kerana ia telah memperlihatkan Rafizi sebagai seorang yang tidak mementingkan pendapat akar umbi serta suka bergerak sendirian.
Saifuddin pula kurang menyerlah walau sebagai Setiausaha Agung dan jika membandingkannya dengan Azmin, Saifuddin tampak kerdil.
Biarpun kini Azmin kurang mendapat perhatian Anwar, namun dia punya pengikut yang sangat ramai di dalam parti seperti Aminuddin Shaari, Shamsul Iskandar dan Zuraida Kamaruddin.
Malah setiap individu yang namanya tercalon dalam pilihanraya umum yang lalu pasti berterima kasih kerana mereka ini dipilih sendiri oleh Azmin.
Kekurangan Saifuddin sebenarnya adalah pada kemampuan beliau untuk mentadbir pasukan serta melaksanakan strategi. Ini jelas terbukti melalui kegagalannya dalam pilihanraya umum lalu dan desas-desus dari kem Saifuddin mengatakan bahawa perancangan dan perlaksanaan jentera pilihanraya sangat kelam-kabut.
Biarpun mungkin sudah sampai masanya Saifuddin diberi peluang membuktikan kemampuannya, keraguan sama ada dia mampu atau tidak memacu parti ke hadapan pasti timbul.
Mampukah Saifuddin memastikan kesinambungan perjuangan parti dapat diteruskan dengan reputasinya yang telah tercalar?
Jika menjadi parasit dan berkempen cara kartel adalah definisi demokrasi dan kesaksamaan dalam PKR, maka terpulang pada akar umbilah untuk menentukan samaada PKR akan benar-benar membawa perubahan atau tidak.
Apa yang merungsingkan adalah budaya parasit ini akan terus berkembang biak dan menelan parti ini dari dalam. Jangan dah terantuk baru nak terngadah.
Lisa Adam adalah pemerhati politik tempatan.