Wednesday, April 23, 2014

Bukan Obama, Tapi Anwar Yang Tak Mahu Jumpa


Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama ke Malaysia hujung bulan ini, dilihat sebagai peluang terbaik Pakatan Rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan yang berlaku di Malaysia ini kepada pemimpin kuasa terbesar dunia itu.

Termasuk di antaranya hukuman penjara 5 tahun yang dijatuhkan pentadbiran Najib ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dakwaan palsu meliwat Saiful Bukhari secara paksa (sebetulnya secara sukarela).

Maka itu, ramailah yang berandaian (termasuk di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat sendiri) bahawa Anwar akan menggunakan peluang kedatangan Obama ke sini untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat itu dan menyuarakan segala permasalahan tersebut.

Diakhirnya, Pakatan Rakyat berharap negara ini akan dikenakan sekatan ekonomi dan tekanan antarabangsa kerana kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan ke atas Anwar khasnya dan rakyat negara ini amnya.

Bagaimanapun, sumber PKR di Tropicana memaklumkan, Anwar enggan (walaupun berminat) menemui Obama semasa lawatan tersebut kerana tidak ada keperluan mendesak untuk pertemuan itu dilakukan pada waktu ini.

Siapa yang tidak mahu menemui pemimpin nombor satu dunia ye tak? Tapi mungkin ramai yang tersilap perkiraan mengenai kehebatan Anwar yang sebenarnya.

Hanya segelintir orang tahu bahawa, tidak seperti Najib, Anwar boleh menemui Obama pada bila-bila masa dan dimana sahaja, terutama ketika Anwar mengunjungi Amerika Syarikat untuk urusan rasmi negara kerana beliau adalah antara beberapa individu yang diiktiraf pentadbiran Obama sebagai pemimpin ulung dalam dunia Islam. 

Selain itu, hubungan erat Anwar dengan pelobi-pelobi di Washington dan peranan penting beliau dalam krisis yang sedang berlaku di Timur Tengah, memungkinkan pertemuan itu diadakan tanpa perlu sebarang temujanji awal atau perancangan yang memakan masa berbulan-bulan.

Kenapa nak ganggu aturcara padat Obama semasa lawatan ke sini? Nanti jatuh pula air muka Najib kalau Obama memperuntukkan ruang untuk bertemu Anwar dalam tempoh 2 hari lawatan tersebut.

Lagipun pada waktu ini Anwar masih berkabung atas kematian mengejut Karpal Singh yang terkorban dalam nahas jalanraya di Gua Tempurung minggu sudah. Sudah jadi lumrah waktu berkabung, kepentingan sendiri perlu diketepikan bagi mengenang jasa dan pengorbanan bekas Pengerusi DAP itu.

Justeru, kenyataan ini diharap dapat membetulkan tanggapan salah disebarkan UMNO kononnya Obama enggan menemui Anwar semasa dalam rangka lawatannya ke sini. Hakikat sebenarnya, Anwarlah yang enggan menemui Obama kerana peluang itu boleh datang pada bila-bila masa.