Tuesday, April 22, 2014

Derhaka Kepada Anwar, Alasan Untuk Tenggelamkan Khalid


Ramai orang bertanya kenapa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak wajar dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden PKR yang baru menggantikan penyandang, Azmin Ali?

Menurut mereka, sebagai parti yang menyokong agenda perubahan, kerusi tersebut wajar diisi oleh muka baru dan Khalid dilihat sebagai calon yang paling layak berbanding dengan Azmin berikutan kedudukkannya sebagai Menteri Besar Selangor.

Aku katakan, Khalid tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden PKR kerana dia tidak patuh kepada arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum parti.

Semua orang tahu banyak keputusan dan arahan Anwar yang tidak dipatuhi Khalid sepanjang dia memegang jawatan tersebut.  Malah, kedudukan Anwar sebagai penasihat ekonomi Selangor, seakan tidak dipedulikan pentadbiran Khalid walaupun dari segi hierakinya jawatan itu adalah lebih tinggi dari Menteri Besar.

Walaupun Anwar sudah menarik diri dari perebutan menjadi Presiden, tapi itu tidak bermaksud kepatuhan kepada Anwar boleh dipandang ringan.  Selama inipun, tanpa jawatan rasmi dalam parti, Anwar adalah tenaga penggerak sebenar PKR yang membawa kepada banyak kejayaan sekarang.

Ingat, pada 2004 PKR hanya mempunyai 1 kerusi parlimen, tapi setelah Anwar menubuhkan Pakatan Rakyat pada April 2008, PKR telah menambah 30 lagi kerusi parlimen menjadikannya 31 kerusi, sebelum manipulasi pilihanraya yang dilakukan UMNO, mengurangkan kerusi Parlimen PKR kepada hanya 30 kerusi.

Tapi dalam masa yang sama, parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP menambah 10 lagi kerusi parlimen kepada 38.  Ini menunjukkan kejayaan yang besar dibawa oleh Anwar seorang dan kepatuhan kepada beliau perlulah menjadi kriteria utama untuk penyandang kerusi Timbalan Presiden.

Sebab itulah hanya Azmin yang layak, bukan Khalid.

Lagipun, mesej Keadilan Raya yang dibawa Azmin menjamin survival PKR untuk jangka masa yang sangat panjang, walaupun Anwar mungkin dihumban UMNO ke dalam penjara.

Keadilan Raya mengingatkan kita kepada konsep Indonesia Raya yang pernah dipelopori Presiden Sukarno pada satu ketika dulu.  Jika konsep Indonesia Raya merujuk kepada penyatuan semua negara Asean dibawah satu bendera, Indonesia, konsep Keadilan Raya pula merujuk kepada penyatuan semua fraksi dalam PKR.

Inilah impian Anwar yang hanya boleh direalisasikan oleh Azmin.  Khalid tidak ada kemampuan itu.