SHAH ALAM: Catuan air sejak beberapa bulan lalu di Selangor akan mula dilonggarkan ekoran berlaku peningkatan paras empangan.
Di empangan Sungai Selangor, peningkatan sebanyak 1.18 peratus iaitu daripada 38.53 peratus pada 19 April, kepada 39.71 peratus pada bacaan 25 April iaitu semalam.
Bagaimanapun, katanya, kadar hujan di hilir membantu pengurangan kadar pelepasan air empangan ekoran paras air sungai mencukupi untuk keperluan loji pembersihan air (LPA).
“Justeru, kelonggaran catuan air boleh dilakukan apabila aliran air sungai tinggi, LPA boleh mengambil air sungai untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna.
“Namun jika aliran air sungai rendah, kita perlu lepaskan air empangan untuk diambil dan dirawat LPA," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau sekali lagi menegaskan, catuan keseluruhan hanya akan ditamatkan hanya apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencapai tahap 55%.
Ini kerana empangan tersebut adalah yang terbesar dengan kapasiti maksimum 235 juta meter padu (Mm3) dan keseluruhan tadahan lembangan Sungai Selangor membekalkan sekitar 60 peratus keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, catuan air akan ditamatkan minggu depan sekiranya projek pengepaman air dari kolam bekas lombong ke empangan Sungai Selangor mendapat hasil positif.
Penggunaan air dari bekas lombong sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor katanya dijamin selamat berdasarkan hasil kajian mendalam daripada pakar.
Katanya pakar juga mendapati air dari bekas lombong adalah jauh lebih baik lebih-lebih lagi lombong berkenaan berusia puluhan tahun.
“Saya jangka catuan ditamatkan minggu depan jika keadaan ini baik dan akan diumumkan Yunus sebagai jurucakap kerajaan negeri,” katanya. - HARAKAHDAILY 26/4/2014