Monday, April 28, 2014

Kelantan beri petunjuk Azmin kekal jawatan?

  • pemilihan PKR
 1 / 1 
SHAH ALAM – Pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR semakin sengit apabila keputusan pengundian di Kelantan semalam menyebelahi penyandangnya, Mohamed Azmin Ali sekali gus mendahului dua calon lain.

Menurut blogger terkenal, Mohd Sayuti Omar, walaupun keputusan itu memberi kelebihan kepada Azmin, namun beliau tidak mudah untuk menepis dua pencabarnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Keputusan tidak rasmi pengudian di seluruh 13 cabang PKR Kelantan semalam menunjukkan Azmin mendapat 1,059 undi, diikuti oleh Saifuddin sebanyak 806 undi dan Khalid mendapat 667 undi.


“Azmin menguasai cabang Ketereh, Tanah Merah dan Rantau Panjang, manakala Saifuddin menang besar di Machang dan Gua Musang. Khalid pula mendapat kepercayaan ahli dari bahagian Pasir Mas, Tumpat,” katanya dalam entri terbaru di laman blognya, Merah Tinta, hari ini.

Mengulas lanjut, Sayuti menambah, sekiranya momentum itu dapat dikekalkan di negeri-negeri lain, tidak mustahil peluang Azmin untuk mempertahankan jawatannya itu cerah.

"Sekiranya pengundian di Kelantan merupakan indikator kepada kedudukan sebenar mereka, Azmin masih lagi mampu mengekalkan kedudukannya,” katanya.

Bagaimanapun katanya Azmin diingatkan tidak terlalu selesa dengan keputusan tersebut susulan cabang Kota Baharu hanya memberikan tiga undi sahaja sekali gus menunjukkan penolakan yang ketara.

Di cabang lain kedudukan hampir sama rata, cuma di Kota Bharu Azmin hanya mendapat tiga undi sahaja. Penolakan terhadap Azmin di Kota Bharu sangat jelas,” katanya.