LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melahirkan rasa kecewa apabila masih ada segelintir pihak yang melempar tohmahan berkaitan fungsi kapal selam Scorpene.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pasukan itu telahpun melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin.
"Sebagai Panglima Tentera Laut, siapa yang tidak kecewa apabila dituduh dengan tohmahan yang tidak benar.
"Kita telah membawa kapal selam kita dan juga kapal submarine escape and rescue (SMER) iaitu MV Mega Bakti untuk dipertonton kepada rakyat jelata terutama pengunjung hari terbuka armada," katanya kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-80 TLDM di sini semalam.
Justeru, beliau berharap pihak yang menulis secara negatif berkaitan aset negara, terutama Scorpene, memikirkan sejenak fakta dan realiti berhubung perkara itu.
TLDM memperoleh dua kapal selam Scorpene buatan Perancis berharga RM3.4 bilion bagi mempertingkat kemampuannya melindungi kedaulatan perairan negara.
Abdul Aziz juga berkata pasukan Tentera Laut Perancis memuji keupayaan dan kecekapan pasukan kapal selam Malaysia.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata penglibatan aset TLDM dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan diteruskan.
Katanya, kapal tambahan yang terlibat dalam misi itu akan diumum Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Pada majlis hari ini, pengamal media berpeluang menaiki dan mendengar taklimat berkaitan fungsi KD Tunku Abdul Rahman. - Bernama