Friday, April 4, 2014

Cukuplah apa yang terjadi kepada Norshalwati, Azizul


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPP) berharap kerajaan Malaysia tidak menambah hukuman kepada pasangan Malaysia Norshalwati Norshal dan Azizul Raheem Awalludin yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden kerana mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka. 

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DMPP, Mumtaz Md Nawi berkata, cukuplah hukuman tersebut sebagai pengajaran dan pengorbanan mereka selama itu dan ia merupakan kes pertama melibatkan rakyat Malaysia. 

Menurut beliau, sebelum ini rakyat Malaysia tidak menyedari betapa seriusnya konsekuen yang bakal diterima oleh ibu bapa dalam kes yang dianggap menjejaskan integriti kanak-kanak di Sweden.

"Cukuplah apa yang terjadi sebagai pengajaran dan pengorbanan mereka selama ini. Ini adalah kes pertama membabitkan warganegara kita dan kes pertama mereka sebagai ibu bapa," katanya. 

Beliau yang juga Naib Ketua DMPP berkata, undang-undang di Sweden mungkin baik untuk seratus peratus menjaga kebajikan kanak-kanak tetapi harus diimbangi bahawa sebagai ibu bapa yang mempunyai tanggungjawab mendidik dan melatih, pasangan itu selaku ibu bapa mereka juga berhak untuk menghukum mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syarak, budaya Melayu dan undang-undang Malaysia. 

"Saya berharap apabila tamat tempoh hukuman sekiranya rayuan kita gagal, pasangan ini dibawa balik dan dibenarkan meneruskan kerjaya dan kehidupan mereka dengan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata, sebagai ibu bapa kandung kanak-kanak tersebut mereka sangat menyayangi anak-anak mereka dan semua gambar dan kenyataan daripada rakan karib serta reaksi spontan anak-anak itu menunjukkan keakraban kasih sayang mereka.

"Saya melawat dan melihat kanak-kanak ini, saya tidak melihat sebarang kesan fizikal mahupun trauma psikologi yang mungkin diakibatkan oleh penderaan berterusan," katanya. 

Menurut beliau, penderitaan mereka terpisah dari kecil dan pasangan di luar negara dalam penjara cukup mendidik semua dan memberikan kesedaran terhadap anak-anak akan nilai kasih sayang ibu bapa .

Ia juga mengingatkan kita perlunya sikap kelembutan dalam ketegasan semasa mendidik dan mengajar, katanya.

Tambah beliau, mereka perlu sokongan moral, simpati dan doa bukan sekali lagi berhadapan dengan trauma dengan hukuman yang bakal diterima setelah pulang ke Malaysia nanti.