Friday, April 4, 2014

Tragedi Memali: Ku Li tidak ingat di mana Dr M

Ku Li
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Tengku Razaleigh Hamzah berkata salah seorang daripada Tun Musa Hitam ataupun Tun Dr Mahathir Mohamad berkata benar mengenai isu tragedi Memali yang menggemparkan negara pertengahan tahun 80an dulu.

“Saya hanya mengetahui insiden ini apabila dilaporkan dalam akhbar,” kata beliau.
Ahli Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun berkata beliau tidak ingat sama ada Mahathir benar-benar ada dalam negara ketika tragedi itu berlaku seperti yang didakwa oleh Musa.

“Salah seorang dari mereka mesti berkata benar,” katanya kepada wartawan.
Apabila disoal adakah kerajaan perlu menubuhkan satu suruhanjaya diraja (RCI) untuk menyiasat semula tragedi berdarah itu, Tengku Razaleigh berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan.
Tengku Razaleigh ditemui di majlis pelancaran buku ‘Malaysia Kaya, Rakyat Miskin’ yang dikarang oleh Anas Alam Faizli di Kelab Sultan Sulaiman semalam.
28 Mac lalu, Musa yang merupakan bekas timbalan perdana menteri mendakwa bekas bosnya, Mahathir,  berada dalam negara ketika tragedi Memali berlaku.
“Siapa kata dia (Tun Mahathir) di China? Sebenarnya dia di Kuala Lumpur,” kata Musa dalam Diskusi Siri 3, ‘Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang’ anjuran kerajaan negeri Kelantan.
Sebelum ini, Mahathir dilaporkan berada di China semasa kejadian tersebut berlaku.
Bagaimanapun, Mahathir berkata beliau perlu mengkaji kembali perkara tersebut kerana tidak ingat sama ada beliau ada dalam negara ketika kejadian.
“Saya sedang kaji kebenaran tentang apa yang disebut oleh beliau.
“Pasal ini berlaku sudah begitu lama saya kena semak baliklah apa yang dia kata betul ataupun tidak,” Mahathir dipetik sebagai berkata.
Dalam tragedi Memali pada 19 November 1985 lalu, kira-kira 3,000 anggota keselamatan mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah untuk menangkap Ibrahim Mahmud, yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tragedi itu mengorbankan 14 nyawa termasuk Ibrahim apabila berlaku pertempuran di antara pihak berkuasa dan penyokong Ibrahim dalam usaha untuk menangkapnya.
Genap 100 hari selepas peristiwa Memali, Musa meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri selepas PAS mengadakan solat hajat.