Saturday, April 26, 2014

DAP cabar PAS: Keluar Pakatan kalau mahu hudud

hudud pas dap
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mahu PAS berundur dari Pakatan Rakyat sekiranya ia tetap berdegil untuk melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.

“Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan tanpa mencapai keputusan bersama dalam Pakatan Rakyat, maka langkah paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur  dari Pakatan,” kata Loke dalam satu nota yang ditulis beliau menerusi laman sesawang Facebook.
“PAS tidak boleh terus bertindak bertentangan dengan dasar bersama Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama tetap bersandar kepada Pakatan Rakyat,” tambahnya.

Menurut Loke yang juga adalah setiausaha organisasi kebangsaan DAP, penegasan persendirian pimpinan kerajaan Kelantan tanpa mencapai kata sepakat bersamaan dengan mencabul permuafakatan Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada usaha PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian menerusi ahli parlimen PAS Kelantan di Dewan Rakyat dalam bulan Jun.
Beliau turut menjelaskan bahawa penentangan DAP terhadap hukum hudud bukan kerana parti beliau bersifat anti-Islam.
“DAP tidak pernah mempersendakan hukum Islam untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin MCA,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan kesediaan DAP untuk mengikis ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan Islam agar parti Islam tersebut diterima oleh seluruh masyarakat Malaysia.
Di samping itu Loke turut mengingatkan PAS mengenai dasar bersama Pakatan Rakyat iaitu Buku Jingga yang dipersetujui oleh DAP, PAS dan PKR semasa konvensyen Pakatan Rakyat pertama dalam tahun 2009.
Kelantan telahpun meluluskan enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) pada tahun 1993 dan di Terengganu pada tahun 2002.
Loke menambah penentangan DAP terhadap hudud adalah berasaskan perlembagaan.  Perlembagaan persekutuan menytakan bahawa pelaksanaan undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.