Saturday, April 26, 2014

Khalid Sampahkan Kenyataan Jeff Ooi


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu mengaitkan kritikan Ahli Parlimen Jelutong berhubung masalah air di negeri itu dengan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang ditandinginya.


“Saya tidak mahu menghubung kait (dengan pemilihan PKR). Apabila saya buat (andaian) itu, saya pula yang mungkin membuat fitnah tentang perkara tersebut,” katanya pada sidang media semalam.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan Jeff Ooiwakil terhadapnya dalam laman Facebook semalam.



Ooi semalam dalam nada marah bercampur kecewa mendesak Khalid dipecat kerana masalah catuan air di negeri yang menyulitkan urusannya hingga terpaksa “mandi kerbau” setiap kali pulang ke kediamannya di Subang Jaya, Selangor.



Mengulas desakan itu, Khalid berkata Ooi tidak mempunyai kuasa untuk mendesak beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.



“Saya ingat dia tiada kuasa (desak saya dipecat),” katanya.



Ditanya adakah beliau akan bertindak terhadap kritikan berkenaan, Abdul Khalid menegaskan ia tidak perlu kerana perkara itu membabitkan kematangan dan kewibawaan seorang pemimpin.



Proses pengundian bagi Pemilihan PKR 2014 sudah bermula semalam dan akan berlangsung hingga 11 Mei depan.



Abdul Khalid adalah salah seorang calon bertanding bagi kerusi Timbalam Presiden PKR.



Beliau berdepan penyandang jawatan yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. 



Sementara seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk K. Ramachandran mengumumkan menarik diri daripada bertanding semalam. - HARAKAHDAILY 26/4/2014