Monday, April 7, 2014

Elak perpecahan dalam pemilihan


  • Hudud: Biar MP bahas, bentang cara ilmiahAzan (kanan) bersalaman dengan pengawas pemilihan selepas menyerahkan borang pencalonan di Hotel Kenangan, Kuala Terengganu. - Foto Sinar Harian
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menasihatkan calon yang bertanding dalam pemilihan parti peringkat cabang supaya tidak menjadikannya medan yang boleh memperbesarkan ruang perpecahan dalam kalangan ahli.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak matang dari sudut proses pertandingan yang bertujuan menghidupkan konsep demokrasi dalam parti.

Beliau berkata, semua pihak perlu terbuka dalam menghadapi tentangan daripada ahli sendiri dan meminta mereka melihat pertandingan sebagai lumrah biasa yang sepatutnya tidak wujud sebarang masalah.

“Saya harap semua pertandingan yang berlangsung selepas ini secara baiklah. Kalau kita pandai menyusun untuk buat pertandingan, sepatutnya kita juga pandai menyusun supaya tidak ada perpecahan selepas pertandingan. Itu syarat dia. Harap begitulah,” katanya.

Semalam, semua calon yang berhasrat bertanding di peringkat jawatankuasa bahagian menyerahkan borang pencalonan masing-masing bagi menghadapi pemilihan parti 26 April ini.

Azan turut mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dan menjadi individu pertama yang menyerahkan borang pencalonan di Hotel Kenangan, kira-kira jam 10.05 pagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Adun Bandar dan bakal dicabar Che Mohd Suhaimi Ismail mengambil sikap terbuka terhadap pertandingan bagi jawatan tersebut. “Kita anggap pertandingan perkara biasa. Di peringkat Pusat pun ada pertandingan cuma kita pesan jangan sampai membuatkan ahli jadi tidak faham proses pertandingan dan sebagainya. Berilah penerangan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu menurutnya, beliau tidak terlibat dengan sebarang perebutan jawatan di peringkat Pusat kerana mahu memberi tumpuan di peringkat negeri.