Sunday, April 6, 2014

Krisis Air, Peluang Rakyat Selangor Cuci Dosa


Krisis air yang melanda negeri Selangor (di sebalik hujan yang turun dengan banyak kebelakangan ini), seharusnya dijadikan pedoman oleh rakyat negeri Selangor untuk melihat kembali semua kesilapan yang pernah mereka lakukan selama ini.

Aku rasa itu saja jalan penyelesaian yang sesuai buat masa sekarang kerana sains pun nampaknya tidak dapat mencari jawapan kepada masalah ini.  Kajian sains yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tahun lepas menunjukkan air di Selangor cukup sehingga 2019, tapi sekarang sudah berlaku krisis itu.

Khalid sebagai seorang manusia biasa mungkin tersilap, tapi kajian yang digunakan beliau tidak mungkin. Ini mesti salahnya datang dari rakyat Selangor sendiri.

Sememangnya sejak 5 tahun yang lepas, 60% rakyat Selangor dikurniakan dengan nikmat air percuma 20m3 pertama oleh kerajaan Pakatan Rakyat - nikmat yang tidak diperolehi oleh rakyat negeri lain, walaupun yang diperintah Pakatan Rakyat sendiri seperti Penang dan Kelantan.

Nikmat itu bagaimanapun telah disalahgunakan oleh rakyat Selangor dengan membazir air sewenang-wenangnya sehingga bekalan yang dijangka bertahan sehingga 2019, mula kering 5 tahun lebih awal.

Pelan catuan air dilancarkan kerajaan negeri yang sepatutnya boleh menyelesaikan masalah kekurangan bekalan, turut gagal kerana rakyat Selangor berterusan membazirkan air terutama waktu menerima bekalan di antara waktu catuan (2 hari ada air, 2 hari tiada air).

Mengikut maklumat, tempoh 2 hari menerima air itu, digunakan srakyat Selangor untuk mengisi sebanyak-banyaknya air sehingga melebihi kapasiti penggunaan biasa.  Perkara ini telah menyebabkan bekalan air berterusan tidak mencukupi.

Jadi bila berlaku masalah air sekarang, jangan salahkan Pakatan Rakyat, tapi salahkan diri kerana andalah sebenarnya punca kenapa semua masalah ini berlaku.

Sebaik mana pun perancangan, sebanyak mana pun hujan yang turun, tapi kalau sikap rakyat Selangor masih macam sekarang, selama itulah masalah air ini tidak akan dapat diselesaikan dan selama itulah catuan air ini akan berterusan.