Friday, April 18, 2014

Guna Khidmat Raja Bomoh Untuk Hapus Hantu Gua Tempurung


Menurut beberapa kenalan, laluan Gua Tempurung tempat mendiang Karpal Singh menemui ajal semalam memang diketahui mempunyai puakanya sendiri.  Aku bukanlah nak percaya sangat cerita macam ini, tapi bila ramai dah bercakap, kena percaya jugaklah.

Yang biasa didengar ialah kereta kuning yang melawan arus, bayangan-bayangan perempuan berbaju putih menumpang kenderaan, dan lain-lain lagi.

Kesimpulan ini kita dapat setelah meneliti kenyataan pemandu mendiang, C Selvam yang berkata dia melihat lori itu menukar haluan secara tiba-tiba tanpa memberi isyarat, bila hasil siasatan polis mendapati, lori tersebut memang berada pada laluannya dan hanya bergerak perlahan kerana sedang menaiki bukit.

Mungkinkah pandangan Selvam ditutupi oleh entiti (makhlus halus) yang berada di kawasan itu, sebab itulah dia melihat lori di depan menukar lorong?  Memang diketahui umum ada jenis-jenis entiti ini yang berupaya menutup pandangan orang.

Tapi, apa pun jenis entiti itu tidak penting, yang penting ialah, bagi mengelakkan berlaku lagi tragedi yang sama seperti menimpa mendiang Karpal, kerajaan dan pihak pengendali lebuhraya perlu berbuat sesuatu.

Untungnya negara kita mempunyai Raja Bomoh.  Inilah masanya untuk khidmat Raja Bomoh ini digunakan bagi menghalau gangguan yang berada di kawasan tersebut.

Lagipun Raja Bomoh tersebut masih gagal dalam usahanya untuk mengesan pesawat MH370 yang masih lagi hilang, dan seharusnya khidmatnya digunakan untuk menghalau segala hantu dan jembalang yang bermaharajalela di laluan itu.

Kata hebat sangat, takkan nak halau hantu pun susah?

Di negara ini, keadaan jalan dan lebuhraya berada pada keadaan yang sangat buruk, ditambah dengan ganguan makhluk halus ini, bertambahlah risiko keselamatan yang terpaksa dihadapi semua pengguna lebuhraya, terutama ketika memandu waktu malam.

Masa inilah Raja Bomoh berkenaan boleh membuktikan kehebatannya.  Usah peduli lagi nasib pesawat MH370 yang telah hilang itu kerana segala kelengkapan canggih pun masih gagal mengesan serpihan pesawat, apatah lagi Raja Bomoh yang hanya menggunakan buah kelapa, bakul dan tikar terbang.

Rasa macam orang bodoh pula bila menulis tentang bomoh gila ini.