Thursday, April 24, 2014

Himpun Bantah GST Lebih Penting Dari Catuan Air


Rakyat Selangor diminta berhenti mempolitikkan catuan air yang sedang dilaksanakan di kawasan Lembah Kelang sekarang dan sebaliknya memberi tumpuan kepada himpunan membantah GST yang akan dilaksanakan di Kuala Lumpur 1 Mei nanti.

Bantahan itu adalah lebih penting dari segalanya kerana GST adalah masalah semua orang di Malaysia ini berbanding catuan air yang hanya menjejaskan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur sahaja - itupun bukan semua.

Ramai orang tidak tahu, hakikatnya bukan semua kawasan di Selangor ini yang terjejas oleh catuan yang dilaksanakan.  
Bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sekolah, hospital dan kediaman Menteri Besar Selangor, catuan air tidak dilaksanakan disitu kerana bekalan ke kawasan tersebut adalah menggunakan paip utama yang sama.

Sebaliknya bila GST dilaksanakan April tahun depan nanti, seluruh rakyat Malaysia, tidak kira tinggal di ceruk mana, akan terjejas dengan perlaksanaan GST yang bertujuan mengkayakan BN serta kroni-kroninya, dalam masa yang sama mengerah keringat rakyat.

Bayangkanlah selepas perlaksanaan GST, beli nasi lemak di warung kedai depan rumah pun akan dikenakan cukai 6%.  Membeli belah di pasar raya dan pasar malam jangan cakaplah, semuanya akan dikenakan cukai 6% juga.

Cukai ini bukan sekadar cukai yang biasa, tapi mempunyai kesan berganda kerana dari pengilang, pengedar sehingga kepada penjual, semua ini akan dikenakan cukai 6%.  Bermaksud, untuk cukai saja, pengguna terpaksa membayar 18% lebih mahal berbanding sekarang, tak masuk lagi keuntungan yang perlu dibuat oleh pengilang.

Tidakkah ini membebankan?  Sudah tentulah jawapannya ya.

Maka itu, lupakanlah masalah air ini dan beri tumpuan kepada menjayakan himpunan membantah GST itu nanti.  Tidak guna air mengalir di rumah setiap hari, tapi rakyat terpaksa membayar harga berkali ganda dalam bentuk GST kepada kerajaan.

Inilah keutamaan yang sebenarnya, bukan catuan air.

Lagipun keputusan telah dibuat bahawa catuan air ini akan diteruskan sehingga beberapa bulan lagi untuk memastikan bekalan air cukup untuk kegunaan rakyat.  Tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana kerajaan negeri Selangor telah memutuskan begitu.