Tuesday, April 8, 2014

Hudud: Khalid Samad & Mahfuz Omar Akan Berkecuali?


Tidak ada alasan lain kenapa UMNO secara tiba-tiba berubah arah dengan memberikan sokongan sepenuhnya kepada PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan, melainkan kerana UMNO dan PAS sama-sama nak menonjolkan diri sebagai jaguh Melayu.

UMNO yang selama ini menganggap hudud sebagai undang-undang lapuk (memetik kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir), rupa-rupanya tidak pernah menolak hudud bahkan menurut satu dokumen rahsia minit mesyuarat MT UMNO pada tahun 1992 yang didedahkan semalam, UMNO bersedia untuk menyokong hudud sekiranya ia dibahaskan di Parlimen.

Adakah ini bukti yang menunjukkan UMNO dan PAS selama ini bersekongkol, berpura-pura bermusuh untuk menipu orang Islam di Malaysia dalam isu hudud?  Perkara ini perlu dikaji dan disiasat kebenarannya.

Tapi kalau perkara itu benar, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pasti tahu kerana beliau lama di dalam UMNO dan pernah menjawat jawatan yang kedua tinggi dalam parti tersebut.  Lainlah kalau Anwar pun turut sama bersandiwara, tapi itu tidak mungkin.

Yang pasti, tindakan PAS berkeras untuk mengemukakan usul di Parlimen dibawah Artikel 76 Perlembagaan Persekutuan (Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di peringkat negeri), adalah satu tindakan yang mengancam kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Dengan persekutuan PAS dengan UMNO, sudah hampir pasti undang-undang tersebut akan diluluskan, walaupun kesemua ahli Parlimen BN bukan beragama Islam dan Pakatan Rakyat (DAP & PKR), mengundi untuk menentang.

Begitupun, masih ada cahaya dihujung terowong kerana dikatakan Pakatan Rakyat telah berjaya memujuk 2 Ahli Parlimen PAS iaitu YB Khalid Samad (Shah Alam) dan YB Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) untuk berkecuali jika undian tersebut diadakan nanti.

Pendirian berkecuali ini akan menyelamatkan kedua mereka dari murtad (keluar dari Islam) kerana mereka tidak memilih pendirian yang satu lagi - menentang.  Menurut garis panduan Islam, murtad hanya boleh dijatuhkan kepada mereka yang menentang hukum Islam, berkecuali tidak mengapa.

Aku harap maklumat ini benar, dan dalam masa sama berdoa usaha serupa turut dijalankan untuk memujuk beberapa lagi ahli Parlimen PAS bagi mengambil pendirian yang sama, seterusnya menggagalkan usaha UMNO dan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud di negeri tersebut.